Kegembiraan keluarga yang menganjurkan majlis perkahwinan sehingga tular baru-baru ini bakal berakhir dengan penyesalan.

Polis telah merakam keterangan seorang wanita bagi membantu siasatan kes penganjuran majlis perkahwinan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah bangunan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 27 Julai lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Saralathan Duraisamy berkata, terdahulu gambar majlis berkenaan menjadi tular di media sosial.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati, terdapat individu yang berkumpul tanpa penjarakan fizikal.

“Penganjur telah menyewa dewan tersebut daripada sebuah syarikat pengurus perkahwinan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Difahamkan, wanita berkenaan merupakan pengurus lokasi majlis dan polis akan turut memanggil kesemua individu yang terlibat dalam majlis tersebut.

Menurut Saralathan, siasatan polis menjurus kepada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKP dan disiasat mengikut Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sumber/ Foto : Awani