Chef selebriti, Adamdidam meninggal dunia awal pagi ini dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Berita pemergian Adam atau nama sebenarnya Adam Mahamed Ismail, diberitahu oleh sepupunya, Natasha Amran menerusi laman Instagram.

“Sepupu kesayangan saya, Adam sudah dijemput Ilahi pagi tadi.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang solihin,”tulis kemas kini itu lagi.

Tambah Natasha, Adam yang juga bapa saudara kepada Fatimah Mukhlis, kanak-kanak kelahiran United Kingdom yang fasih berbahasa Kelantan akan dikebumikan di kampung halamannya,Tanah Perkuburan Lemal, Pasir Mas,Kelantan.

Turut difahamkan bahawa bekas peserta Hero Oven ini juga sudah memberi bayangan akan pemergiannya menerusi kemas kini laman Instagram yang menunjukkan dia sedang bertarung dengan sesuatu yang agak serius.

“Sudah agak lama saya menghilang namun sukar untuk mengembalikan kehidupan seperti biasa bila ada sesuatu yang mengubah hidup 360 darjah.

“Saya berasa tidak terdaya,” tulis Adam dalam kemas kini kedua terakhirnya di laman Instagram Februari lalu.

Selain Hero Oven, arwah juga memiliki program masakan sendiri iaitu Ketuhar Kuali siaran Astro tahun lepas.

Sumber: Kosmo!