Adik Ainul Mardhiah yang selesai menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kanser ‘Germ Cell Tumor' di London dikhabarkan akan kembali ke Malaysia dalam masa terdekat.

Memetik laporan Harian Metro, bapa Ainul, Ahmad Saifuddin dan isteri, Nurul Erwani Zaidi sedang membuat persediaan untuk pulang ke tanah air selepas lebih sebulan berada di luar negara untuk pembedahan anaknya.

“Kami sedang buat persiapan untuk pulang. Insya-Allah akan balik dalam masa terdekat dan berharap semuanya berjalan dengan lancar,” katanya.

Ainul yang menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di hospital di London pada 10 Jun lalu.

Sejak selesai menjalani pembedahan, Ainul terus menunjukkan perkembangan positif apabila dia sudah mula memberikan respon pada ibu bapanya.

Menerusi laman Instagram juga, Erwani memuat naik Instastory meluahkan perasaan sebak kerana terpaksa berpisah dengan semua kakitangan hospital yang merawat Ainul.

Erwani juga meminta maaf apabila jarang mengemaskini perkembangan terbaru anaknya yang berusia sembilan bulan itu.

Pembedahan yang membabitkan perbelanjaan mencecah kira-kira RM1 juta itu berjaya direalisasikan sekumpulan pakar bedah dan anestetik, diterajui Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway, selain bantuan pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri.