Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat memohon maaf bagi pihak adiknya, Fyna Jebat yang tidak dapat mengulas lanjut mengenai isu pertelingkahan yang berlaku di sebuah restoran awal pagi Isnin lalu.

Ayda berkata, adiknya tidak boleh berbuat demikian kerana ingin menjaga banyak hati selain perlu mengikut nasihat pihak berkuasa.

“Minta maaf, Fyna tidak mahu beri sebarang komen dan ulasan kerana banyak hati yang harus jaga.

“Selain itu, pihak polis juga menasihati untuk tidak berbuat demikian dan meminta agar dan pihak yang bertanggungjawab menjalankan tugas,” katanya kepada Gempak.

Ayda berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan kejadian di sebuah restoran di Shah Alam, Selangor yang dikatakan melibatkan pertelingkahan Fyna bersama madunya iaitu isteri pertama Datuk Zainal Abidin Hassan.

Dalam pada itu, Ayda berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat terhadap keadaan keluarganya dan memohon agar orang ramai memahami situasi yang sedang dialami Fyna.

"Saya berterima kasih kepada semua yang prihatin. Saya mohon semua orang faham situasi yang sedang berlaku serta menghormati Fyna dan semua pihak," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan berlakunya kejadian itu dan memaklumkan kedua-dua pihak sudah tampil membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan (gaduh gempar) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (AKK) (Kelakuan tidak senonoh tempat awam).