Syawal yang bakal diraikan tidak lama lagi memberikan makna tersendiri buat penyanyi yang pernah mencipta nama bersama kumpulan rock legenda Spring, Ameng.

Pelantun yang sinonim dengan himpunan lagu pop rock dan balada popular seperti Sampai Hati, Bourgenvilla dan Butakah Cinta itu mengakui, dia begitu teruja ketika Ramadan menyelak harinya bermula 13 April lalu.

Bersyukur diberikan Allah kesempatan untuk kembali bertemu bulan yang penuh keberkatan buat umat Islam, Ameng berkata, Ramadan kali ini sedikit istimewa apabila dia turut berpeluang mendekati peminat dengan buah tangan terbaru.

Aidilfitri Yang Ku Rindu kata Ameng, menjadi bingkisan paling berharga buat peminat yang sentiasa menanti kemunculan terbarunya, di samping membuktikan cintanya terhadap bidang nyanyian masih utuh.

Meskipun pernah menempuh pelbagai episod menguji untuk mengekalkan nama dalam industri muzik, Ameng melihat kemunculan single Aidilfitri Yang Ku Rindu mempunyai pengertian tersendiri dalam diari kerjaya nyanyiannya.

Lebih bermakna, akui Ameng, lagu itu juga menjadi simbolik silaturahim antara dirinya dan peminat kerana ia dihasilkan oleh peminat setia yang mengikuti perjalanan karier seninya sejak bersama Spring lebih tiga dekad lalu dikenali sebagai Rash.

"Memang saya pernah merakamkan lagu raya, tetapi usaha sebelum ini tidak memberikan kepuasan jitu kepada diri saya sebagai penyanyi. Dalam projek itu, saya berganding bahu dengan barisan penyanyi popular yang bernaung di bawah pengurusan Sony Music Entertainment, sedikit masa lalu.

"Secara peribadi, saya melihat ada ruang baharu untuk saya teroka kerana saya masih belum mempunyai lagu raya yang betul-betul popular. Di samping itu, saya juga ingin kembali mendekati peminat yang mungkin merindui kemunculan terbaru saya.

"Saya ambil peluang itu dengan merakamkan lagu raya kerana mahu memberikan sedikit kelainan. Secara tidak langsung, usaha saya itu turut memberikan lebih pilihan kepada peminat, selain menambah khazanah komposisi lagu raya baharu untuk dinikmati pencinta muzik," katanya.

Ameng berkata, Aidilfitri Yang Ku Rindu masih mengekalkan genre muzik yang sinonim dengan dirinya ketika dikenali bersama Spring dahulu apabila mengetengahkan sentuhan pop balada.

"Sebagai peminat fanatik kumpulan Spring, Rash sangat memahami cara nyanyian dan genre lagu yang saya hasilkan ketika bersama kumpulan itu.

"Untuk memastikan sentuhan ini memenuhi kriteria yang saya inginkan, saya turut memberikan idea dari segi komposisi melodi kerana saya mahukan keselesaan ketika rakaman.

"Dengan pengalaman yang ada, saya dan Rash berkongsi idea serta mencari titik tengah kerana mahukan proses penghasilan lagu ini memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak," katanya.

Tidak menafikan, tempoh promosi untuk lagu raya agak terbatas memandangkan ia hanya diputarkan pada musim perayaan, Ameng bagaimanapun yakin, Aidilfitri Yang Ku Rindu bakal bertahan, seterusnya menjadi pilihan peminat setiap kali lebaran menjelma.

Justeru, sebagai penulis lirik, Ameng menekankan jalan cerita yang bertemakan cinta kerana lirik seperti itu dekat di hati peminat muzik Melayu, selain lebih mudah diterima.

"Aidilfitri Yang Ku Rindu mempunyai nilai sentimenal yang tersendiri dan saya percaya, ia mampu merentas sempadan masa untuk terus menjadi pilihan peminat setiap kali musim perayaan tiba.

"Saya berharap pencinta industri muzik bersikap lebih terbuka dan terus memberikan sokongan terhadap karya terbaru saya, meskipun lagu raya nostalgia lebih mendapat tempat kerana sudah sebati di pendengaran ramai.

"Lagu baharu akan tetap ada kerana sebagai pengkarya, kami perlu sentiasa mencuba dan menghasilkan karya untuk terus memajukan industri muzik.

"Secara peribadi, saya tidak terlalu mengharapkan penerimaan yang luar biasa, tetapi saya percaya sudah memberikan yang terbaik seperti yang dimahukan peminat," katanya.

Aidilfitri Yang Ku Rindu boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.