Pasangan selebriti Ernie Zakri, 29, dan Syamel, 28, membuat keputusan ingin menyelesaikan beberapa urusan dahulu sebelum berkongsi tarikh perkahwinan.

Menurut Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri berkata dia dan Syamel tidak berniat untuk merahsiakan tentang hari bahagia mereka.

"Tarikh atau bulan itu saya akan kongsikan tidak lama lagi dengan Syamel sebab kami buat keputusan untuk selesaikan beberapa perkara dahulu.

"Jangan risau, kami tak akan merahsiakan, insya-Allah," katanya ketika dihubungi Gempak.

Sebelum ini, Ernie dan Syamel terpaksa menangguhkan kerana majlis keraian tidak dibenarkan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, pelantun lagu Gundah menyatakan persiapan untuk perkahwinan sudah hampir siap.

Walaubagaimanapun, pelakon drama Suri Katriana ini masih perlu menyelesaikan tuntutan kerja yang tertunda gara-gara PKP.

"Persiapan itu saya serahkan kepada perancang perkahwinan kami. Dalam 60 peratus boleh dikatakan dah siap.

"Masih banyak sebenarnya tuntutan kerja sebab kita tersangkut dengan PKP. Selepas PKP, semua tarikh dah ditolak ke depan jadi kami harus selesaikan," katanya lagi.

Terdahulu, Ernie dan pemilik nama Syameel Aqmal Mohd Fodzly mengikat tali pertunangan pada 16 Ogos 2020 dalam satu majlis sederhana.