Dunia hiburan India kembali berduka. Menjelang sambutan Deepavali, salah seorang aktor senior mereka, Asif Basra ditemukan meninggal dunia kerana bunuh diri pada Jumaat, 13 November 2020.

Mayat Asif dilaporkan ditemui di sebuah kediaman persendirian di Dharamshala, Himachal Pradesh. Beliau disahkan meninggal dunia pada usia 53 tahun.

"Asif Basra meninggal bunuh diri pagi hari ini dan mayatnya sudah dihantar untuk post mortem.

"Meski demikian tak ada sebarang nota bunuh diri ditemui bersama," Vimukt Ranjan, SP Dharamshala seperti yang dilaporkan Indianexpress.com.

Menurut laporan media India, Asif telah sekian lama berjuang melawan depresi yang dideritanya. Namun, laporan itu belum disahkan oleh pihak keluarga aktor ini.

Kematiannya cukup mengejutkan industri perfileman India. Salah seorangnya adalah pengarah Sachin Krishn yang menyatakan tidak menyangka Asif yang sempat membintangi karyanya, Hostages musim kedua mati bunuh diri.

"Saya sangat terkejut dengan berita kematian ini. Saya masih tidak mengetahui kisah sebenar yang terjadi.

"Tapi saya pasti beliau adalah seorang individu yang sangat ceria dan kami di lokasi penggambaran sangat mencemburuinya kerana beliau boleh tinggal di atas gunung dan turun ke Mumbai hanya untuk menjalani penggambaran.

"Beliau bukan sahaja seorang aktor yang hebat, tetapi juga manusia yang baik. Saya benar benar terasa kehilangannya," ujar Sachin.

Sementara itu khabar kematiannya juga disambut dengan ucapan belasungkawa dari para aktor dan aktres Bollywood.

Aktres Kareena Kapoor, itu meluahkan kedukaannya di Instagram. Beliau yang pernah beraksi dalam filem Jab We Met dengan aktor itu pada tahun 2007 mengucapkan selamat jalan kepada Asif.

"Rest in peace Asif Basra. Belasungkawa buat keluarga anda," tulis Kareena.

Anushka Sharma yang merupakan penerbit web-series Paatal Lok, yang pernah mendapatkan khidmat Asif awal tahun ini menuliskan: "Ingatan dan belasungkawa saya buat keluarga anda. RIP Asif Basra."

"Apa? Ini terlalu mengejutkan! Saya baru selesai penggambaran dengannya sebelum lockdown," cuit Manoj Bajpayee di akaun Twitternya.

Hansal Mehta pula mencuit: "Asif Basra! Ini seperti mimpi! Ini terlalu menyedihkan."

Profil karier Asif dilihat cukup besar di India. Beliau telah membintangi beberapa filem hebat termasuk Kai Po Che, Hichki, Krrish 3, Jab We Met, Once Upon a Time in Mumbaai, Ek Villain, Black Friday dan Kaalakaandi.

Salah satu filem terbaharu Asif Basra adalah Paatal Lok dan ditayangkan di Amazon Prime Video. Hostages 2 pula merupakan karya terakhirnya yang ditayangkan pada September 2020. Di siri ini beliau membawa watak sebagai Asghar Nabi.

Kredit Foto: Indianexpress.com