Terkini
Akui Pernah Lalui Fasa Sombong, Faizal Tahir Tegur Diri Sendiri Sebelum Orang Lain
Penyanyi popular, Faizal Tahir mendedahkan yang lagu baharunya, Alah Bisa yang turut menampilkan rakan duet Amira Othman merupakan sebuah karya yang sarat dengan teguran untuk dirinya sendiri.
Membawa pengisian tentang perangai sombong, Faizal berkata, lagu tersebut selari dengan kekhilafannya dahulu yang mungkin pernah dilalui menerusi ‘fasa sombong’ sepanjang berkarier tanpa disedari.
“Bagi saya, sebelum saya tegur orang, saya akan tegur diri saya terlebih dahulu. Kita sibuk nak betulkan salah orang tapi diri sendiri masih tak betul. Jadi tak masuk akal.
“Saya tulis lagu ini berdasarkan pengalaman sejak hari pertama saya bergelar penyanyi dan mula berkarya sebagai anak seni. Kadang-kadang, kita tak sedar kita sombong… Tapi cara kita jawab, pandang orang kita sebenarnya ada perangai itu, tanpa sedar,” katanya kepada Gempak.
Faizal berkata, dia berharap agar pendengar dan peminatnya tidak mengulangi perkara yang sama seperti apa yang pernah dilaluinya.
“Apa yang saya nak katakan, janganlah jadi macam saya. Saya dulu solat pun tunggang terbalik.
“Tapi insya-Allah, kalau solat dijaga, kita pasti akan meraih kejayaan baik di dunia mahupun di akhirat,” katanya lagi.
Melanjutkan bicara mengenai Alah Bisa, lagu yang turut menampilkan rakan duet Amira Othman itu kedengaran seperti kesinambungan single Faizal sebelum ini, Ragaman.
“Ketika mula-mula menyanyi sekitar 14 tahun lepas, muzik saya banyak diinspirasikan daripada muzik barat. Tapi lama-lama, saya mula sedar yang muzik kita juga sebenarnya punya banyak keunikan berbanding muzik mereka.
“Sebab itu setakat ini, muzik sebegini merupakan acuan muzik saya sekarang,” katanya.
Must-Watch Video