Berita

"Alhamdulillah, Akhirnya Lagu Saya Jadi..." - Noh Salleh

gempak
Rozaimi Zubaidi
16/07/2019
03:41 MYT
Sponsor Banner
"Alhamdulillah, Akhirnya Lagu Saya Jadi..." - Noh Salleh
Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh mengakui bersyukur apabila lagunya dipilih menjadi runut bunyi untuk sebuah filem tempatan iaitu Wangi yang bakal menemui penonton September ini.
Menurut Noh, sebelum ini lagu ciptannya seperti Renjana dan Sang Penikam pernah dipilih melatari beberapa filem Indonesia.
"Sebelum ini, beberapa lagu saya pernah dipilih untuk menjadi runut bunyi untuk filem di Indonesia.
"Jadi, besar harapan saya untuk dapat menyumbang sesuatu untuk produksi filem tempatan pula selepas itu.
"Namun, saya bersyukur akhirnya lagu saya terpilih menjadi runut bunyi filem tempatan selepas Nabila Huda yang menjadi pelakon utama filem itu mencadangkan nama saya untuk menghasilkan sebuah lagu untuk filem tersebut. Alhamdulillah," katanya kepada Gempak.
Noh berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Toko Kilat Bersama Noh Hujan Pemacu Api 2019 Tour, di Gasket Alley, baru-baru ini.
Tambah Noh, dia menghadapi cabaran untuk menghasilkan lagu tersebut kerana hanya diberikan poster tanpa menonton filem secara keseluruhan untuk mengetahui jalan penceritaannya.
"Saya cuma diberikan poster sahaja untuk hasilkan lagu itu tanpa menonton filem supaya faham keseluruhan cerita yang hendak disampaikan.
"Tidak sangka apabila lagu itu siap dan diberikan kepada penerbit untuk dinilai, mereka mengalirkan air mata ketika mendengarnya," ujarnya.
Pemacu Api Tour merupakan jelajah kumpulan muzik Toko Kilat dengan penampilan istimewa Noh Salleh yang akan berlangsung di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur. Jelajah ini bermula 17 Ogos sehingga 14 September depan.
Untuk maklumat lanjut mengenai tiket, Pemacu Api Tour boleh didapati menerusi laman web www.tokokilatband.com.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live