Nasib masyarakat di Pahang yang kini terpaksa berdepan dengan bencana banjir turut mendapat perhatian usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Aliff Syukri.

Sebagai anak kelahiran negeri Pahang, kata Aliff dia terpanggil untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban masyarakat yang dilanda musibah.

"Permulaan tahun 2021, kita dikejutkan dengan berita banjir besar yang berlaku di banyak negeri dan antara yang teruk terjejas adalah negeri kelahiran saya, Pahang. Sebagai anak kelahiran Pahang saya turut merasai kesusahan.

"Alhamdulillah rezeki anda salurkan pada saya ini, saya saya salurkan kepada yang memerlukan. Anda juga adalah penyumbang kepada mereka dengan membeli produk-produk perniagaan saya, saya adalah perantara sahaja yang menyampaikan bagi pihak anda semua," katanya menerusi satu hantaran di Instagram

Menerusi entri berkenaan, Aliff berkongsi sebuah video yang memaparkan persediaan yang dilakukannya bersama pasukannya untuk membawa barang-barang keperluan asas untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.c

A post shared by Ohabangkosmetik (@aliffsyukriterlajaklaris)


Katanya, dia akan sama-sama turun padang bersama 10 kenderaan pacuan empat roda bagi menyalurkan bantuan berkenaan di beberapa kawasan yang terjejas.

"Esok (hari ini) saya akan turun ke beberapa tempat yang terjejas antaranya Maran, Temerloh, Raub dan beberapa tempat lagi yang dibenarkan masuk memandangkan saya menerima maklumat banyak jalan terputus akibat banjir yang sangat teruk.

"Doakan saya dan team selamat sampai untuk bantuan ini. Ada tak sesiapa yang perlukan pertolongan saya, korang boleh tag Instagram mereka untuk saya bantu," katanya.

Di ruangan komen, rata-rata menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan Aliff dalam memberikan bantuan kepada mereka yang kini berada dalam kesusahan.

"Alhamdulillah semoga dipermudahkan urusan bantuan untuk mereka yang memerlukan. Semoga selamat pergi dan selamat balik Datuk Seri dan team," komen pelakon Zarina Zainuddin.

"Terharu tengok orang-orang yang berduit bantu orang-orang yang susah. Kita ni ibarat keluarga tolong menolong satu sama lain. Kalaulah saya pun berduit, saya akan bantu semua yang susah. Semoga Datuk dimurahkan rezeki lagi," tulis pengikutnya yang lain.

Sebagai info, beberapa negeri di Semenanjung kini terjejas teruk akibat banjir antaranya, Johor, Pahang dan Terengganu.