Pelakon berbakat, Siti Saleha berkongsi beberapa aktiviti yang dilakukan sepanjang berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini.

Menurut bintang utama drama Scammer ini, dia mengambil peluang untuk mempertingkatkan lagi kemahiran berbahasa Perancis di rumahnya.

"Antara perkara yang saya lakukan ketika PKP kali ini adalah mempertingkatkan lagi kemahiran Bahasa Perancis saya.

"Sebelum ini saya tahu tapi bukanlah hebat, jadi, memandangkan kita semua harus berada di rumah mematuhi PKP ini, saya ambil peluang untuk belajar lebih lagi," katanya.

Tambah Saleha, antara aktiviti lain yang dilakukannya adalah membaca buku, mengemas dan macam-macam lagi.

"Selain itu, saya ada juga baca buku, mengemas bilik, memasak dan kalau tiba waktu malas, saya akan berehat dan menonton filem atau siri sahaja," selorohnya.

Bercakap mengenai komitmen terhadap kerjaya, Saleha akui masih ada kerja-kerja yang perlu diteruskan ketika PKP, namun hanya secara dalam talian di media sosial sahaja.

"Bab kerja pula, masih ada yang perlu diteruskan walaupun saya tak keluar, kerja-kerja di media sosial masih berterusan.

"Saya ada terlibat dalam projek dengan beberapa jenama dan sebagainya, jadi komitmen sebegini tidak berhenti kerana boleh dilakukan dari rumah sahaja," katanya lagi.

Selain Saleha, Scammer turut dibintangi oleh Kamal Adli, Fasha Sandha, Didie Alias dan ramai lagi.

Untuk makluman, Scammer diarahkan oleh Norhanisham Muhammad yang merupakan penulis untuk drama bersiri popular The Maid sebelum ini.

Jangan lupa saksikannya pada setiap Isnin hingga Khamis, 11 malam di Astro Ria.

Ia turut boleh distrim di aplikasi Astro Go dan kemudahan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.