Sekilas
- Uyaina Arshad meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan kes buli, keganasan, dan penderaan di sekolah yang sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak.
- Dia menegaskan pentingnya ibu bapa mendidik anak-anak tentang empati, hormat, kawalan emosi, dan kesedaran tentang akibat tindakan sejak kecil.
- Uyaina turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Irene Sofiya yang maut dipercayai dibunuh di sekolahnya baru-baru ini.
Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad meluahkan kerisauan terhadap peningkatan isu buli, keganasan serta penderaan yang berlaku dalam persekitaran sekolah.
Menurut Uyaina, sebagai ibu kepada tiga cahaya mata lelaki, dia mengakui bimbang sekiranya sesuatu perkara buruk menimpa anak-anaknya.
“Kenapa semakin kerap kita dengar tentang buli, keganasan, penderaan, dan kejadian kejadian yang langsung tak pernah kita bayangkan boleh berlaku dalam ruang yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak kita belajar dan membesar?
“As a mother of three young boys, I takut. Bukan sahaja takut kalau sesuatu berlaku kepada anak-anak saya.
“Tapi saya juga takut memikirkan adakah saya sedang membesarkan anak-anak lelaki yang tahu bagaimana untuk menjaga dan tidak memudaratkan manusia lain?” ujarnya.

Tambah Uyaina lagi, tugas ibu bapa bukan sekadar memastikan anak-anak mempunyai pencapaian yang baik, sebaliknya turut mendidik mereka mengenai empati, rasa hormat serta cara mengawal emosi.
“Sebab tanggungjawab kita sebagai ibu bapa bukan sekadar memastikan anak kita pandai dan berjaya.
“Kita juga perlu membesarkan anak yang tahu bahawa kekuatan bukan lesen untuk menyakiti.
“Bagaimana nak membesarkan anak yang ada empati? Yang tahu menghormati. Yang tahu mengawal marah dan tidak melenting luar kawalan bila kena reject.
“Yang berani cakap ‘stop’ bila kawan-kawan mula melampaui batas. Dan yang tahu bahawa diam ketika melihat orang lain dizalimi juga ada kesan dan akibatnya,” tegasnya.
Dalam pada itu, Uyaina turut juga berpendapat anak-anak perlu didedahkan sejak kecil mengenai perkara seperti buli, kuasa, undang-undang serta akibat daripada setiap tindakan yang dilakukan.
“Saya personally rasa kita kena mula bercakap dengan anak-anak kita tentang benda-benda besar. Dan bukan tunggu bila mereka besar.
“Tentang empati. Tentang marah. Tentang kuasa. Tentang hormat. Tentang buli. Tentang undang-undang. Tentang setiap tindakan yang salah, akan ada akibat yang menanti.
“Rumah membentuk anak. Sekolah membentuk persekitaran. Dan masyarakat membentuk generasi yang seterusnya. Kita semua ada bahagian yang perlu dimainkan,” luahnya.

Pada hantaran sama, Uyaina juga turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang mengenali Allahyarham Irene Sofiya.
“Irene Sofiya… Salam takziah buat seluruh ahli keluarga, sahabat dan mereka yang mengenali arwah.
“Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan syurga menjadi tempat abadinya.
“Dan semoga keadilan dapat ditegakkan. Saya just tak boleh berhenti fikir. Apa yang sedang berlaku dengan anak-anak kita di sekolah?” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang semalam, pelajar perempuan itu dijumpai maut dengan kesan kecederaan pada badan, dipercayai dibunuh di dalam dewan sekolahnya.
Mangsa ditemui nenek dan rakannya yang datang ke sekolah selepas menyedari mangsa tidak pulang ke rumah walaupun kelas tambahan sudah berakhir.
Difahamkan, mangsa tinggal dengan nenek berikutan ibunya sudah lama meninggal dunia akibat kanser, manakala bapa bekerja di Kuala Lumpur.
Ketika ditemui, terdapat kesan darah kering pada badan mangsa, selain lebam seolah-olah dipukul.
Selain itu, pasu pecah turut dijumpai berdekatan mangsa.
Sumber: Threads @uyainaarshad