Laman Utama
Amelina Turun 6 kg Gara-Gara Lagu Balada Pertamanya, Ada Untukmu
Ratu dangdut negara Amelina mengakui berat badannya menyusut sebanyak 6 kilogram(kg) gara-gara lagu balada pertamanya, Ada Untukmu.
Lagu bergenre tersebut adalah kali pertama dirakam Amelina sepanjang 27 tahun bergelar penyanyi.
“Memang betul, berat badan saya turun daripada 70kg kepada 64kg kerana lagu ini. Bukan kerana tertekan atau susah hati tetapi saya lakukan untuk mendapatkan hasil terbaik ketika merakam muzik video Ada Untukmu.
“Saya seorang yang sangat suka makan. Tapi dengan bantuan Slim World saya berjaya mengawal pemakanan dan menurunkan berat badan saya. Yang penting kena disiplin,” katanya.
Mengulas mengenai lagu terbarunya itu Amelina berkata, idea penghasilan lagu ciptaan sepenuhnya Aepul Roza ini tercetus berikutan persetujuan bersama pengurusannya, MindOrder Management.
Menurut Amelina, keberanian untuk merakamkan selepas menerima respons positif yang ketika menyertai Gegar Vaganza musim kelima (GV5) pada 2018.
“Ketika menyertai GV5, saya menerima tugasan mingguan untuk menyanyikan pelbagai genre lagu dan Alhamdulillah saya mampu menyampaikannya dengan baik.
“Lepas tu ramai pula yang bertanya jika saya mahu mencuba genre berbeza selain dangdut untuk projek lagu baharu seperti pop atau balada.
“Syarikat pengurusan juga berpendapat tidak salah jika saya cuba mencabar diri dengan lagu genre berbeza kerana mereka sudah melihat kemampuan saya menyampaikan lagu-lagu berlainan genre sebelum ini.
“Kami putuskan untuk mencuba sehingga lahirlah Ada Untukmu pada hari ini,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran dan tayangan perdana video muzik lagu itu di Crave Café, Oasis Ara Damansara pada petang Khamis.
Tambah Amelina lagi, kelainan pada genre lagu terbaru itu juga sebagai hadiah unik kepada para penyokong dan peminatnya selama ini.
Penyanyi berusia 46 tahun yang mempunyai lebih 15 lagu hit dangdut ini juga berharap kelainan dan keberanian yang disajikan mendapat tempat di hati peminat.
Lagu Ada Untukmu boleh dilayari dan dimuat turun secara rasmi di semua platform digital antaranya Spotify, Joox, Kkbox dan iTunes bermula 7 Ogos 2020.
Video muzik lagu ini pula akan dilancarkan di saluran YouTube Nova Music juga pada hari yang sama.
Must-Watch Video