Penyanyi, Amylea Azizan dan Kaer Azami bergabung bagi menjayakan showcase Amylea X Kaer : Chapter Three pada 26 Ogos ini di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Amylea berkata showcase tersebut diharap dapat mengubati rindu peminat yang sudah lama menanti mereka kembali dalam industri hiburan.

"Showcase yang bakal diadakan ini bertujuan untuk mendekatkan semula kami berdua dengan peminat kerana selama ini, walaupun kami masih aktif bergiat, namun kami berdua jarang muncul di televisyen.

"Peminat akan berpeluang menikmati durasi persembahan yang lebih panjang memandangkan kami berdua turut mempunyai slot masing-masing dalam showcase tersebut," kata Amylea.

Kedua-dua penyanyi yang popular dengan lagu Tak Pernah Hilang itu ditemui di majlis Media Gathering Kaer & Amylea di Tony Roma's, e@Curve, Petaling Jaya pada Rabu lalu.

Pada masa yang sama, Amylea menyatakan showcase tersebut turut melambangkan kemunculan semula mereka dalam industri hiburan.

Kepada anda yang tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan mereka, tiket boleh didapati pada harga RM 56 menerusi talian 011-11513683.