Memegang watak sebagai seorang guru menerusi filem Memoir Seorang Guru, pelakon berkaliber, Datuk Rosyam Nor mengakui ia merupakan cabaran besar dalam karier seninya.

Pemilik nama Mohamed Noor Shamsuddin, 57, itu berkata watak Sunan yang dibawa agak berat kerana mewakili individu penting dalam kalangan akademik.

Bimbang Karier Terjejas Akibat Watak

Selain itu, Rosyam turut beranggapan bahawa watak itu mampu menamatkan kariernya jika lakonannya sebagai Sunan gagal memberi impak terhadap penonton.

"Cabaran untuk menghidupkan watak Sunan ini sangat sukar. Sunan merupakan satu watak dalam novel yang cukup terkenal daripada buku teks sekolah.

"Cikgu satu Malaysia tahu tentang novel itu. Kalau saya gagal bawakan watak ini dengan baik, maknanya habis karier saya sebagai pelakon.

"Nanti orang cakap Rosyam Nor setakat berlakon filem aksi bolehlah. Itu dikira gagal buat saya." ujarnya.

"Saya tidak pernah puas dengan lakonan saya...

Rosyam ketika ditemui semasa malam gala filem Memoir Seorang Guru yang berlangsung di GSC Cinemas Mid Valley, Kuala Lumpur menzahirkan kesyukuran apabila diberi peluang untuk menggalas watak yang mencabar tersebut.

"Alhamdulillah saya mendapat naskhah dan watak yang baik. Sudah lama saya menunggu karakter yang baik seperti ini.

"Bagi saya setiap babak dalam filem ini mencabar saya kerana perlu mengekalkan graf lakonan disebabkan membawa watak dalam dua era berbeza.

"Saya rasa ramai pelakon di Malaysia yang akan cemburu kerana tidak dapat memegang watak Cikgu Sunan ini.

"Bagaimanapun, saya tidak pernah puas dengan lakonan saya. Sebagai pelakon, apabila menonton filem ini saya rasakan banyak perkara saya boleh perbaiki tetapi biarlah ia menjadi rahsia peribadi saya," kongsinya.

BERITA TRENDING: "Stesen TV Berhak Pilih Atau Boikot Artis Bermasalah" - Rosyam Nor

Sekadar info, filem Memoir Seorang Guru merupakan adaptasi daripada novel hasil karya penulis popular, Azizi Abdullah yang merupakan bekas guru dan penerima Anugerah Penulis S.E.A 1998 mewakili Malaysia.

Selain Rosyam Nor, filem Memoir Seorang Guru membariskan pelakon terkenal tanah air seperti Ellie Suriaty, Nabila Huda, Zul Huzaimy dan Johan As'ari.

Memoir Seorang Guru bakal bersua penonton di pawagam seluruh negara bermula 30 Mei 2024.