Penyampai radio dan Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin mengakui polemik yang tercetus sejak minggu lalu adalah ujian terhebat sepanjang 25 tahun bergelar selebriti.

BERITA TRENDING: “DJ Lin Tak Perlu Letak Jawatan, Prestasinya Bagus” - Pengerusi Star Media Group

Jelas DJ Lin, dia tidak menyangka menerima kecaman teruk daripada netizen yang menyalahkan dirinya sebagai punca penamatan kontrak Tyzo.

"Ini kecaman terhebat pernah saya terima atas tuduhan yang Tyzo lemparkan kepada saya dalam video yang tular.

"Selepas dilantik sebagai Pengurus Besar Suria FM pada 2021, saya mengalas dua tanggungjawab yang besar dalam pengurusan Suria FM dan penyampai segmen Suria Cinta.

"Setiap hari saya sentiasa berusaha memastikan jenama Suria FM terus unggul dan melakar kejayaan.

"Sejujurnya saya sudah lali dengan kecaman kerana sebelum ini saya pernah berdepan dengan pelbagai kecaman daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa bekas penyampai.

"Walaupun dikecam sejak viral video Tyzo sehingga masih menerima makian, cacian, tohmahan serta gelaran yang keterlaluan, tapi saya tidak boleh salahkan mereka 100 peratus kerana mereka tak tahu apa cerita di sebaliknya," katanya.

Akui DJ Lin, dirinya menerima kecaman dan tohmahan teruk diterima susulan penamatan kontrak bekas penyampai Suria FM, Tyzo yang menggemparkan industri penyiaran radio sejak minggu lalu.

Justeru, mohon DJ Lin agar netizen berhenti mengecam dua anaknya yang ketika ini menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab.

"Bagi anda yang ada nilai kemanusiaan anak saya tak bersalah. Saya tiada masalah kalian nak kecam kerana tidak tahu hujung pangkal cerita, tapi jangan sentuh anak-anak saya.

"Anda menghina mereka tanpa alasan yang kukuh. Mereka juga ada perasaan dan hati. Namun saya reda dan percaya apa yang berlaku ini ada hikmah di sebaliknya.

"Saya juga yakin semua kata-kata yang menghentam saya sehingga ada perkataan yang tidak boleh diterima manusia saya percaya satu ketika nanti mereka akan menyedari tindakan itu. Ini kerana, kenyataan tetap kenyataan.

"Saya anggap apa yang berlaku sebagai satu proses pembelajaran untuk memantapkan mental. Sekali lagi, saya tidak boleh menyalahkan netizen kerana mereka tidak tahu cerita sebaliknya. Cuma kalau nak menghukum biarlah selepas kita ketahui kenyataan yang sebenar-benarnya barulah adil," katanya.

Jumaat lalu, Suria FM mengumumkan khidmat Tyzo sebagai penyampai bagi segmen Suria Petang, berakhir.

DJ Lin dilaporkan berkata, keputusan dibuat sebagai langkah merangka strategi selain perancangan baharu untuk menghasilkan produk lebih menarik dan segar.