Francais filem The Fast and the Furious memasuki penerbitan yang ke-10. Dengan judul Fast X, filem ini menampilkan anak mendiang pemain utamanya yang meninggal dunia beberapa tahun lalu, Paul Walker iaitu Meadow Walker.



Meski muncul hanya sebagai cameo, Meadow yakin mendiang ayahnya yang cukup terkenal menerusi karakter Brian O’Corner dalam filem pecah panggung tersebut kagum dengan kesempatan yang diperoleh.

“Ini merupakan pengalaman yang paling mengujakan dan saya percaya ayah mesti kagum kerana perkara ini terjadi (berlakon dalam saga The Fast and the Furious),” katanya seperti dilaporkan Marca.

Meadow, 24, juga mengatakan penglibatannya dalam Fast X sebagai sebuah bentuk penghargaan buat Paul yang menjadi cukup sinonim dan popular lewat lakonannya di dalam karya francais ini.

“Saya mahu memberi penghormatan kepada ayah kerana francais Fast ini adalah perkara penting dan telah menjadi sebahagian besar dalam kehidupannya dan juga saya,” katanya lagi.

Menerusi Fast X, Meadow menjadi seorang pramugari yang muncul dalam babak bersama John Cena atau pembawa watak Jakob Torentto.

Walker yang menghidupkan beberapa karya awal The Fast and the Furious membuat peminatnya berduka apabila dilaporkan meninggal dunia dalam sebuah kemalangan jalan raya pada tahun 2013.