Penerbit popular Datuk A Aida sebak membilang hari anak sulungnya, Wan Az Aleesa, 27, yang bakal ditunangkan dengan pasangan, seorang juruterbang, Zain Azrai Abdul Aziz, pada hujung minggu ini.



Kongsi A Aida, dalam pada sebak, dia tumpang gembira dengan melihat anaknya bakal menempuhi hidup bahagia tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, jodoh anak sulung saya sudah sampai. Bulan lalu keluarga belah lelaki sudah masuk merisik. Insya-Allah majlis tunang akan dilangsungkan pada 20 Mei ini dan bernikah pada 15 Julai 2023.

"Mereka sebenarnya sudah lapan tahun bercinta, namun biasalah hubungan ni ada naik turunnya. Itulah orang kata kalau sudah jodoh, mereka bakal melangkah ke fasa yang lebih serius.

"Mula-mulanya, saya sekadar bertanya sejauh mana hubungan mereka? Dalam nada bergurau tanya bila nak kahwin? Lalu Zain terus cakap kalau saya izinkan dia nak berkahwin secepat mungkin.

"Ketika itu saya rasa sebak, air mata terus nak meleleh sampai saya ke pusing ke belakang. Minta janganlah air mata ini menitis," katanya.

Biarpun mahu anak perempuannya itu menamatkan pengajian dalam bidang veterinar di Bogor, Indonesia, A Aida berlapang dada apabila bakal menantunya sudah punyai perancangan bersama.

"Katanya, kalau saya izinkan sebelum Aleesa melanjutkan pelajaran dia mahu berkahwin terlebih dulu kerana mahu menjaganya sepanjang empat tahun pengajian di luar negara.

"Sekali lagi saya rasa sebak. Saya setuju dan kami sekeluarga berbincang sebelum capai kata sepakat. Anak saya pun sudah berusia 27 tahun. Tapi saya dua tiga hari jugalah menangis gembira kerana akhirnya anak bakal tamatkan zaman bujang," ceritanya lagi.

Selain Aleesa, seorang lagi anaknya Wan Az Evanatassha juga merupakan cahaya mata hasil perkahwinan bersama penyanyi Ameng sebelum ini.