Hollywood
Anak Tom Hanks Sahkan Ibu dan Bapanya Berada Dalam Keadaan Baik
Anak kepada pelakon Saving Private Ryan, Tom Hanks mengesahkan ibu dan bapanya yang dijangkiti COVID-19 berada dalam keadaan baik.
Chet Hanks, 29, turut mengucapkan terima kasih kepada peminat yang mendoakan kesihatan ibu dan bapanya.
"Memang betul ibu dan ayah saya positif COVID-19. Macam tak percaya, tapi ya...itulah yang berlaku.
“Apapun mereka dalam keadaan baik, dan tak ada apa yang perlu dirisaukan. Terima kasih kepada yang prihatin, saya sangat menghargainya,” katanya.
Hanks pada pagi Khamis telah membuat pengakuan mengejutkan apabila mengumumkan dirinya dan isteri, Rita Wilson positif COVID-19.
Pengakuan tersebut dilakukan secara terbuka menerusi laman sosial Twitter dan Instagram (IG) miliknya.
Ketika membuat pengumuman tersebut Hanks berada di Australia bagi menjalani penggambaran filem berkisar mendiang Elvis Presley arahan Baz Luhrmann yang belum diberi tajuk.
Hanks, 63, kini sedang menjalani proses kuarantin dan pemantauan.
Menurut laporan media antarabangsa, Hanks dan Wilson disyaki dijangkiti virus berkenaan ketika bercuti di Gold Coast.
Mereka menjelajah Gold Coast selepas Wilson yang juga seorang penyanyi, membuat persembahan di Emporium Hotel South Bank di Brisbane.
Pasangan tersebut kemudiannya berangkat ke ke Sydney dan Wilson membuat persembahan di Sydney Opera House.
Seramai 200 orang dipercayai berada di situ untuk menyaksikan persembahan Wilson pada Sabtu lalu.
Selain itu pengacara program Today Extra Show, David Campbell dan Belinda Rusell mengasingkan diri selepas dikunjungi Wilson dan akan menjalani saringan.
Sumber: Fox News
Must-Watch Video