Hiburan
Arwah Mak Pernah Pesan Cari Wanita Bertudung - Arja Lee
Pelakon dan penyanyi Arja Lee akui masih solo dan belum bersedia untuk melangkah ke fasa perkahwinan.
Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 33, berkata kini masanya untuk menumpukan perhatian terhadap karier dan mencapai impian yang dingini.
"Terus-terang saya kini mahu memberi fokus kepada kerjaya seni dahulu serta mengukuhkan ekonomi diri.
"Saya tidak mahu jika saya bercinta dan putus cinta nanti mengganggu fokus saya.
"Saya tidak terlalu rushing untuk kahwin dan saya meletakkan masa dua atau tiga tahun lagi untuk memikirkan soal kahwin," katanya kepada Astro Gempak.
Arja ditemui selepas majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Budak Nakal di Paranormal Studios, Damansara semalam.
Sementara itu, apabila ditanya mengenai ciri-ciri wanita pilihannya, Arja memberitahu cukup memadai seorang yang memahami.
"Saya senang sahaja, cukuplah dengan seorang wanita yang memahami diri dan kerjaya saya.
"Tetapi kalau ikutkan pesan arwah mak saya dia suruh saya cari wanita bertudung.
"Yelah bagi pandangan orang-orang tua wanita bertudung ini baik dan sopan.
"Saya tak kisah pun, asalkan dia serasi dengan saya," katanya lagi.
Mengenai perkembangan lain, Arja kini sedang dalam proses penggambaran mengacarakan program travelog ke 13 negeri dalam negara.
Must-Watch Video