Dokumentari berjudul Assassins yang menyingkap kejadian pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un, Kim Jong Nam, mula ditayangkan.

Assassins yang diarahkan oleh pengarah dari Amerika Syarikat, Ryan White dihasilkan selepas sekitar empat tahun peristiwa sebenar terjadi.

Menurut laporan Reuters, White mengambil masa sekitar dua tahun setengah untuk menyiapkan naskhah yang memberi fokus terhadap dua 'pembunuhan upahan' wanita dari Indonesia, Siti Aishah dan Doan Thi Huong, dari Vietnam.

Mengikut kronologi kes, kedua dua wanita ini ditahan selepas didakwa meracun Jong Nam dengan menekup mukanya dengan bahan kimia VX.

Kejadian yang menggemparkan dunia itu berlaku di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tahun 2017 dan rakaman CCTV berjaya merekodkan kejadian.

Menurut kenyataan daripada pihak peguambela, mereka tidak menyangka sedang 'diupah melakukan pembunuhan' kerana mendakwa ia adalah sebahagian babak prank dari program realiti.

Siti Aisyah dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan membunuh abang tiri kepada pemimpin Korea Utara itu pada Mac 2019. Sementara, Thi Huong dibebaskan pada Mei tahun sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Selain itu, pegawai Korea Selatan dan Amerika Syarikat bertegas tentera Korea Utara telah memerintahkan pembunuhan Jong Nam kerana mengkritik pemerintahan dinasti keluarganya.
Bagaimanapun, Pyongyang telah menolak tuduhan tersebut.

Namun, Assassins yang mula ditayangkan di pawagam dan tontonan secara digital bermula Jumaat itu juga mendedahkan, kejadian itu kekal misteri sehingga kini.

Kredit Foto: ABC CBN News