Kalau sudah terlepas rasanya masih belum terlambat untuk menonton semula dua naskhah hebat 212 Power of Love dan sekuelnya, Power of Love 2: Hayya.

212 Power of Love diinspirasikan daripada peristiwa sebenar dan filem ini mengandungi pelbagai mesej politik dan agama.

Filem ini mengisahkan kehidupan seorang wartawan bernama Rahmat. Berperwatakan tegas dan sinis membuatkan dirinya tidak mempunyai ramai kawan.

Kematian ibunya memaksa Rahmat pulang ke kampung namun ketika ingin kembali ke Jakarta, Rahmat mendapat maklumat bapanya, Ki Zaenal akan melakukan perarakan bersama pelajar dari Ciamis.

Rahmat cuba menggagalkan usaha bapanya kerana khuatir perhimpunan itu akan menyebabkan rusuhan. Mampukah Rahmat?

Filem 212 Power of Love dibintangi Fauzi Baadila, Humaidi Abas, Adhin Abdul Hakim, Hamas Syahid, Meyda Sefira, Asma Nadia dan Roni Dozer.

Manakala filem Power of Love 2: Hayya mengisahkan Rahmat yang dihantui rasa bersalah dan dosanya masa lalu sedang belajar memahami erti cinta dan keimanan.

Dalam proses hijrah, Rahmat menjadi sukarelawan di tempat perlindungan sempadan Jordan-Palestin.

Di sana, Rahmat bertemu Hayya, gadis kecil berusia lima tahun yang merupakan anak yatim piatu. Kehadiran Hayya membawa perubahan dalam hidup Rahmat.

Filem ini dibarisi teraju sama Fauzi Baadila, Adhin Abdul Hakim, Hamas Syahid selain Ria Ricis dan Meyda Safira.

Kombo dua filem ini boleh ditonton di saluran Astro First bermula 22 Julai ini.