Laman Utama
“Ayah Kata Relakslah” - Akui Tertekan, Yamani Abdillah Tidak Mahu Dibandingkan Dengan Bapa
Bintang Big Stage 2020 yang juga anak kepada Datuk Jamal Adbillah, Yamani Abdillah mengakui agak tertekan apabila membawa nama bapanya untuk bertanding dalam program realiti tersebut.
Menurut Yamani, dia dapat merasakan yang orang ramai akan menjangkakan persembahan terbaik daripadanya setiap minggu.
“Orang jangka saya akan nyanyi sedap, sempurna macam ayah malah mesti akan ada yang membandingkan nyanyian saya dengan ayah saya.
“Saya mendapat restu daripada ayah cuma dia awal-awal dah berpesan yang saya bawa gelaran juara sebab ayah saya dah jadi juara Bintang RTM pada tahun 1979 dan saya kena pegang title tu. Itulah yang saya rasa agak berat tanggungjawab ni.
“Tekanan tu memang ada tapi macam ayah minta saya untuk relaks sahaja,” kata Yamani kepada Gempak.
Yamani ditemui ketika majlis sedang media pengenalan 12 peserta dan barisan juri Big Stage 2020 yang bertempat di The Starling, Damansara pada Selasa.
Yamani turut mensasarkan Big Stage 2020 ini sebagai pentas untuk dia membina nama serta mengutip pengalaman bertanding.
“Tujuan saya sertai Big Stage adalah kerana nak tunjukkan pada semua tentang identiti saya yang sebenar, jauh berbeza dengan ayah saya.
“Kalau Jamal Abdillah kita tahu dia raja pop, tetapi saya pula nak jadi penyanyi rock.
“Dari kecil memang ayah kerap bagi saya dengar lagu-lagu dia sehingga saya terikut-ikut cara dan teknik nyanyian ayah.
“Tetapi saya ada stail tersendiri dan tak semestinya saya kena tiru ayah,” jelasnya lagi.
Juara Big Stage 2020 akan membawa pulang wang tunai RM100,000, tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000.
Bigstage 2020 akan memulakan konsert pertamanya secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 16 Ogos 2020, jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).
Must-Watch Video