Sekilas
- Shaheizy Sam menang Pelakon Lelaki Terbaik di FFM35 menerusi filem Badak dan sambut kemenangan dengan tawaran 100 piza percuma di Kafe Abduls.
- Tawaran piza percuma diberikan kepada 100 pelanggan pertama yang datang tanpa perlu sebut kata kunci, sebagai tanda terima kasih Sam kepada peminat.
- Filem Badak mengangkat kisah komuniti OKU pendengaran dan turut membawa kemenangan Pelakon Wanita Terbaik kepada Aida Amron.
Pelakon Shaheizy Sam meraikan kemenangan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) dengan menawarkan 100 piza percuma kepada pelanggan Kafe Abduls mulai pukul 11 pagi ini.
Sam mengumumkan tawaran itu ketika menerima trofi menerusi lakonannya dalam filem Badak di Panggung Sari, Istana Budaya, malam semalam.
“Saya nak hadiahkan balik kepada orang di luar sana. Siapa yang datang ke Kafe Abduls esok pagi, 100 piza pertama percuma. 100 piza pertama percuma! Terima kasih,” katanya.
Ditemui selepas majlis, Sam berkata, idea untuk membelanja pelanggan itu tercetus secara spontan.
“Tiba-tiba terlintas dalam kepala macam, ‘Okeylah, kenapa tidak?’ Panggillah sesiapa datang ke Kafe Abduls, 100 keping terawal itu Sam belanja,” ujarnya.
Menurut Sam, pelanggan tidak perlu menyebut sebarang kata kunci untuk mendapatkan piza percuma. Tawaran itu berdasarkan siapa yang tiba dahulu.
“Tak adalah. Mungkin Sam akan suruh staf letak saja di situ 100 keping itu. Siapa ambil dulu, dialah dapat,” katanya.
Dalam ucapan kemenangannya, Sam turut mengimbau bagaimana dia pernah menyimpan teks ucapan selama lima tahun sebelum membuangnya selepas tidak menang tahun lalu.
“Alhamdulillah. Lima tahun berturut-turut saya genggam ucapan kemenangan. Tahun lepas tak menang, saya buang. Sekarang ini pun tak tahu nak cakap apa dah.
“Pertama sekali, Alhamdulillah atas rezeki ini. Terima kasih kepada Mommy Khaty yang tidak pernah berhenti mendoakan adik,” katanya.
Sam turut merakamkan penghargaan kepada isterinya, Syatilla Melvin, ahli keluarga dan seluruh pasukan produksi Badak.
“Terima kasih kepada semua pihak kerana memberi kepercayaan dan menganugerahkan saya trofi ini.
“Badak adalah karya yang sangat bermakna serta menjadi peringatan kepada semua dan semoga saya dapat terus memanusiakan manusia dalam industri ini,” katanya.
Menerusi filem yang mengangkat kehidupan komuniti orang kurang upaya (OKU) pendengaran itu, Sam membawakan watak Badak, seorang bapa yang mengalami masalah pendengaran.
Sam mengatasi empat finalis lain iaitu Idan Aedan (Abah Saya, Uncle Mike), Datuk Eman Manan (3 Hajat), Beto Kusyairy (Gayong 2) dan Amerul Affendi (Libang Libu).
Badak turut mencatat kemenangan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik menerusi Aida Amron.