Berita
Ayda Jebat Umum Tarikh Nikah Malam Ini, Netizen Mula Teka, Betul Ke 20.12.20?
Penyanyi dan pelakon popular, Ayda Jebat bakal mengumumkan tarikh majlis pernikahan bersama pasangannya, pengacara Nabil Mahir malam ini.
Perkara itu dikongsikan Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat, 28, menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
"Insya-Allah esok (hari ini) kita umumkan hari istimewa . Episod pertama #BilaAydaJatuhCinta di Youtube Wuvvshow, 9 malam. Korang teka bila?," katanya.
Bahkan, perkhabaran yang sama juga turut dikongsikan Nabil di Instagram miliknya.
"Ada 10 episod istimewa mengenai perjalanan kami ke hari yang cukup bermakna," ujarnya.
Kedua-dua mereka turut berkongsi sekeping foto yang sama ketika mengenakan busana perkahwinan.
WuvvShow merupakan saluran YouTube yang dikendalikan pasangan tersebut sejak kira-kira tujuh bulan lalu.
Sementara itu, di ruangan komen, pasangan berkenaan mula dibanjiri dengan ucapan tahniah daripada rakan artis dan pengikutnya.
Bahkan, pada masa sama, ada yang mula meneka kemungkinan kedua-dua mereka akan memilih tarikh-tarikh dengan susunan angka yang cantik.
"Saya teka 20.12.20?
"20.11.20 atau 20.12.20," komen sebahagian pengikutnya.
Sebelum ini pasangan tersebut mencuri tumpuan ramai apabila melangsungkan majlis pertunangan secara online pada 28 April lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.
Must-Watch Video