Sekilas
- Miley Cyrus dan Maxx Morando telah berkahwin di Palm Springs, California pada 21 November 2026 selepas setahun bertunang.
- Majlis perkahwinan dihadiri oleh keluarga terdekat termasuk ibu dan adik Miley, serta diadakan majlis makan malam latihan sehari sebelum hari bahagia mereka.
- Pasangan ini telah bersama selama lima tahun dan pertunangan mereka diumumkan secara rasmi pada Disember 2025 selepas Maxx melamar Miley di Kyoto, Jepun.
Bintang Hollywood terkenal, Miley Cyrus dilaporkan berkahwin dengan Maxx Morando selepas setahun bertunang.
Cyrus, 33, dan pemain dram kumpulan Liily berusia 28 tahun itu dilaporkan berkahwin di Palm Springs, California pada 21 November 2026, lapor People.
Menurut laporan tersebut, ibu Cyrus, Tish Cyrus serta adiknya, Noah Cyrus, turut hadir meraikan hari bahagia pasangan itu.
Sehari sebelum majlis perkahwinan, pasangan selebriti itu terlebih dahulu mengadakan majlis makan malam latihan perkahwinan bersama keluarga serta insan tersayang.

Lily-Rose Purcell, adik tiri Cyrus, turut berkongsi beberapa foto majlis berkenaan menerusi Instagram Stories miliknya, termasuk paparan menu yang tertera huruf “M+M” sebagai simbolik kepada inisial nama pasangan tersebut.
Pada 2 Disember 2025, sumber mengesahkan pasangan berkenaan telah bertunang, sehari selepas penyanyi pop itu mencetuskan spekulasi apabila dilihat menyarungkan sebentuk cincin berlian ketika menghadiri tayangan perdana filem Avatar: Fire and Ash di Los Angeles.
Walaupun tarikh sebenar pertunangan mereka masih dirahsiakan, Morando akhirnya mendedahkan detik istimewa itu dalam temu bual bersama Wonderland Magazine pada Julai lalu.
Menurutnya, dia melamar Cyrus ketika mereka bercuti di Kyoto, Jepun, pada tahun sebelumnya. Menariknya, destinasi tersebut merupakan tempat yang belum pernah mereka kunjungi, namun sudah lama menjadi impian kedua-duanya.
Morando dan Cyrus telah bersama selama lima tahun.