Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat mendedahkan bahawa dirinya tidak mahu lagi menyertai mana-mana pertandingan hiburan berkonsepkan realiti.

Ini kerana, kata Ayda atau nama lengkapnya Nur Suhada Jebat, 30, pertandingan berkonsep realiti memerlukan komitmen yang tinggi termasuk tenaga dan masa.

“Rasanya selepas ini untuk pertandingan realiti saya tidak akan menyertai lagi. Itu jawapan jujur daripada saya.

“Ini kerana banyak perkara yang perlu diambil kira jika masuk pertandingan, seperti daripada segi masa dan tenaga. Saya rasa cukuplah.

“Kalau pertandingan yang setiap minggu saya tidak akan masuk,” katanya kepada Gempak.

Ditanya adakah dirinya sudah serik, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata sukar untuknya menjawab.

Bagaimanapun, jelasnya dia masih terbuka untuk terlibat dalam pertandingan yang tidak memerlukan komitmen mingguan seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Ia bukan serik, tapi macam ada satu perasaan yang saya tak boleh nak gambarkan, apa pun cukuplah dulu untuk pertandingan realiti.

“Tetapi kalau AJL, itu lain, Insyaallah boleh, kerana tidak menuntut komitmen mingguan,” tambahnya

Terdahulu, Ayda bersama adiknya yang juga seorang penyanyi Fyna Jebat telah menyertai sebuah acara nyanyian berkonsepkan keluarga.

Pada acara tersebut, Ayda dan Fyna telah diumumkan sebagai pemenang tempat kedua selepas lapan minggu bersaing dengan peserta lain.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.