Laman Utama
Azwan Omar Nak Tubuhkan Kelab Abang Viva Untuk Perkasa Bantuan
Sosok pemuda yang kini menjadi sanjungan seluruh negara kerana keperibadian mulianya membantu orang, Azwan Omar, meluahkan hasrat untuk menubuhkan kelab sukarelawan.
Azwan atau lebih dikenali sebagai Abang Viva mengatakan hasrat tersebut mahu dilaksanakan dalam misi memperkasa bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Saya ada hasrat untuk buat komuniti atau grup sukarelawan melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram. Jadi mudah untuk sukarelawan perseorangan atau agensi bukan kerajaan misalnya kita kongsi informasi dan bantu orang,” katanya kepada Gempak.
Ditanya apakah nama yang akan dipilih untuk kelab sukarelawan tersebut, sambil ketawa anak kelahiran Melaka ini mengatakan akan menggunakan jenama Abang Viva.
“Abang Viva. Saya dikenali dengan nama Abang Viva. Jadi mungkin kelab itu dinamakan Abang Viva,” katanya sambil tersenyum.
Azwan, 29, bagaimanapun mengatakan tidak boleh berjanji atau menetapkan satu garis masa bila kelab tersebut akan terlaksana. Ia mengaku menubuhkan kelab sedemikian adalah satu impiannya pada masa akan datang.
“Saya tak tahu bila boleh jadi (kelab). Tapi itu impian saya. Boleh saling kongsi maklumat dan ramai lagi sukarelawan boleh tolong bila ada musibah,” katanya.
Impian tersebut diluahkan Azwan dalam pertemuan eksklusif #Gempak The Untold Story bersamanya pada Sabtu lalu di Temerloh, Pahang.
Untuk membaca lebih banyak cerita menarik yang dikongsikan, jangan lupa klik di sini
Foto: Abdul Razak Latif
Must-Watch Video