Muhammad Zahier Yusoff telah diumumkan sebagai juara dalam pertandingan Personaliti Top ERA yang diadakan sejak awal Oktober oleh stesen radio ERA.

Menurut Zahier, dia sememangnya berhasrat untuk memenangi pertandingan itu tetapi tidak menyangka impian itu menjadi kenyataan.

"Saya memang berhasrat untuk menang dalam pertandingan ini, tetapi saya tidak menyangka pula ia menjadi kenyataan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana saya sudah banyak mencuba nasib dalam bidang penyiaran radio sebelum ini, akhirnya usaha saya mendatangkan hasil," jelasnya.

Zahier berkata demikian ketika ditemui di Pentas Akhir Personaliti Top Era bertempat di The Bee, Publika Shopping Gallery, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Dalam pada itu, Zahier mengatakan dia amat menyukai cara dan usaha penyampai radio Era, Radin yang telah memulakan kariernya dari peringkat bawah.

"Bercakap mengenai idola saya dalam bidang penyiaran radio, sudah tentu saya mengambil teladan daripada Radin.

"Saya suka akan caranya yang bermula dari bawah, kemudian perlahan-lahan membina nama sehingga kini," tambahnya.

Personaliti Top ERA merupakan satu pertandingan yang membuka peluang kepada anak muda Malaysia untuk menonjolkan bakat dalam bidang penyiaran radio.

Dari 600 penyertaan menerusi laman sosial Instagram, 13 peserta akhir dipilih untuk menyertai Personaliti Top ERA.

Pada mulanya, 13 peserta telah diberikan tugasan dan cabaran yang merangkumi penulisan skrip, penghasilan dan penyuntingan video di laman sosial, sesi bergandingan bersama personaliti ERA di udara dan acara lapangan bersama skuad ERA.

Namun hanya lima peserta sahaja yang layak bergelar finalis di pentas akhir.

Zahier telah berentap bersama empat finalis lain iaitu Annie, Iskandar, Dania dan Munaa.

Sebagai hadiah, Zahier telah diberikan kontrak sebagai penyampai radio ERA selama dua tahun.

Difahamkan, tempoh kontrak tersebut akan bermula sekitar Disember tahun ini.