Laman Utama

Bakal Mulakan Kehidupan Baharu Di Chicago, Deja Moss Lancar Buku Autobiografi Buat Peminat

gempak
Azwa Rahman
02/07/2021
01:52 MYT
Sponsor Banner
Bakal Mulakan Kehidupan Baharu Di Chicago, Deja Moss Lancar Buku Autobiografi Buat Peminat
Penyanyi kelahiran Sarawak Deja Moss melancarkan sebuah buku autobiografi mengenai perjalanan jatuh bangun kehidupannya menerusi, Hidupku Takdirku.
Menurut Deja atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Moss, idea penghasilan buku itu tercetus sekitar pertengahan tahun lalu dan dia bersyukur impian tersebut menjadi kenyataan meskipun, terpaksa menempuh pelbagai rintangan untuk menyiapkannya.
“Bukan saya tidak mahu menghasilkan single baharu, namun proses pemilihan lagu memakan masa. Tambahan pula, ketika ini, negara masih berdepan kemelut COVID-19.
“Jadi, saya perlu mencari alternatif untuk mendekati peminat yang berterusan menghargai perjuangan saya.
“Melihat situasi semasa, saya terfikir menghasilkan sebuah buku yang memberi inspirasi dan motivasi kepada wanita, terutama mereka yang sedang berdepan episod sukar dalam kehidupan dan tercari-cari kekuatan untuk bangkit semula.
"Saya anggap penerbitan buku inspirasi ini sebagai bingkisan hati buat peminat tersayang. Memang berat apabila terpaksa meninggalkan semua, tetapi saya akur tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya," katanya menerusi satu kenyataan.
Autobiografi setebal 200 halaman itu mempunyai pengertian tersendiri buat dirinya kerana ia menjadi tanda ingatan istimewa untuk peminat sebelum dia meninggalkan tanah air untuk memulakan kehidupan di Chicago, Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, dengan pandemik yang melanda dunia awal tahun lalu, membuatkan Deja dan suami terpaksa berjauhan lantaran Deja perlu pulang ke tanah air bagi menyelesaikan beberapa perkara peribadi, sebelum kembali ke Chicago.
"Lebih setahun juga kami hanya berkomunikasi menerusi telefon dan panggilan video. Sepanjang tempoh itu, saya banyak berdoa supaya Allah permudahkan kami untuk dapat bersatu kembali dan menjalani rutin kehidupan berumah tangga seperti pasangan lain.
"Alhamdulillah, ia akan menjadi kenyataan sedikit masa lagi. Memandangkan saya terpaksa berada lebih lama di sana untuk menguruskan beberapa hal, termasuk permohonan mendapatkan status Penduduk Tetap, saya terfikir bagaimana mahu terus mendekati peminat di tanah air. "Menerusi penerbitan buku ini, saya berharap kami dapat berkongsi sedikit pengalaman, di samping menyuntik kata semangat antara satu sama lain supaya terus kuat dan berani menempuh dugaan hidup, terutama ketika dunia sedang berjuang melawan pandemik COVID-19," katanya.
Sekadar info, Deja mendirikan rumah tangga dengan jejaka keturunan Amerika-Syria, Maher Khani di Chicago, Amerika Syarikat pada Jun 2019.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live