Pengarah Syafiq Yusof mengakui agak tertekan menantikan tayangan filem arahannya, Abang Long Fadhil 3 yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

Syafiq menerusi temu bual di Era berkata, tekanan itu dirasai memandangkan filem Mat Kilau arahan abangnya, Syamsul Yusof mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan penonton tempatan.

“Rasa pressure itu memang ada. Walaupun saya tak nak bandingkan filem saya dengan filem-filem abang, namun orang luar akan tetap bandingkan. Mereka akan kata: ‘Oh dia tak sehebat abang dia, collection filem dia tak setinggi abang dia.’

“Kalau filem saya box office, alhamdulillah. Kalau tidak box office pun, saya akan terus berjuang buat filem yang bagus untuk industri perfileman di Malaysia,” katanya.

Sungguhpun tertekan, namun dia masih berbangga dengan kejayaan yang dimiliki oleh abangnya. Sehinggakan, Syafiq percaya abangnya turut memiliki sentuhan emas sama seperti bapanya, Yusof Haslam.

“Itu fakta. Ayah saya buat filem semua laku, semua hit. Abang saya juga punya touch yang sama. Saya jelah kadang-kadang laku kadang-kadang tidak. Rezeki masing-masing kan?

“Tetapi, saya tetap bangga dengan kejayaan abang saya. Menerusi kejayaan Mat Kilau, saya harap lebih ramai orang akan datang ke pawagam dan menonton filem tempatan.

“Dalam masa yang sama, ia menjadi penyebab kepada pengarah lain untuk mendapat peluang mengarahkan filem-filem berbajet besar, seterusnya menghasilkan karya-karya bermutu pada masa akan datang,” katanya lagi.

Sebelum menutup perbualan Syafiq sempat memberitahu filem arahan terbaharu, Abang Long Fadil 3 bakal menemui penonton pada September ini.

“Insya-Allah, Abang Long Fadil 3 bakal menemui penonton pada September ini. Sebenarnya filem itu sudah lama siap, tapi tertangguh akibat pandemik. Sekarang dah okey sedikit, dan filem Mat Kilau pun menunjukkan prestasi yang bagus… jadi orang sudah pun mula berani untuk ke panggung wayang semula,” katanya menutup perbualan.