Bakat-bakat tempatan yang diiktiraf di luar negara sangat membanggakan rakyat Malaysia.

Ramai anak-anak kelahiran Malaysia yang menempa nama di luar negara antaranya dalam bidang pendidikan, perniagaan, seni, fesyen dan juga sukan.

Gempak senaraikan lima nama yang paling terkenal, selayaknya menjadi sumber inspirasi buat kita semua mengejar impian.

1. Tan Sri Michelle Yeoh

Anak kelahiran Ipoh Michelle Yeoh memulakan karier seninya dengan berlakon sebuah iklan bersama Jackie Chan selepas dinobatkan gelaran Miss Malaysia pada tahun 1983.

Terus mengorak langkah, beliau mula terkenal apabila melakukan aksi ngeri sendiri dalam filem-filem aksi Hong Kong pada awal 1990-an.

Namanya terus berada di puncak di peringkat antarabangsa menerusi filem James Bond berjudul Tomorrow Never Dies.

Senarai filem lakonan Yeoh termasuklah Crouching Tiger Hidden Dragon, Sunshine, Memoirs of a Geisha, Guardians of the Galaxy Vol. 2 dan banyak lagi.

Beliau juga pernah dipilih oleh Majalah People sebagai salah seorang daripada 50 wanita paling cantik di dunia pada 1997.

2. Henry Golding

Aktor kelahiran Malaysia, Henry Golding terus mencipta kemasyhuran di Amerika Syarikat (AS) dengan filem terbarunya, Snake Eyes.

Lelaki berdarah Iban - Inggeris ini membuat penampilan pertamanya sebagai seorang hos BBC The Travel Show dalam 2014.

Kemudian beliau terus mencipta nama dalam filem pertamanya Crazy Rich Asians pada tahun 2018 serta filem thriller A Simple Favour bersama Anna Kendrick dan Black Lively dalam tahun yang sama.

Antara filem lain yang dibintangnya adalah The Gentleman, Last Christmas dan Monsoon.

3. Datuk Jimmy Choo

Pereka kasut terkemuka Datuk Jimmy Choo merupakan anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang. Beliau kemudian menyambung pengajian di dalam bidang pembuatan kasut dan fesyen di Cordwainers Technical College di Hackney, London pada tahun 1983.

Agak lama beliau berusaha keras sehinggalah kasut rekaannya mendapat perhatian dan liputan dari Majalah Vogue di United Kingdom.

Akhirnya, rekaan kasutnya telah menarik perhatian mendiang Puteri Diana dan telah membelinya sekitar tahun 1990.

Choo kemudian telah mengasaskan Jimmy Choo Ltd bersama editor British Vogue, Tamara Mellon pada tahun 1996. Mereka memulakan sebuah syarikat pengeluaran kasut yang berpusat di Itali.

4. James Wan

James Wan merupakan seorang produser, penulis skrip serta pengarah filem kelahiran Kuching, Sarawak dan dibesarkan di Australia.

Wan mendapat pendidikan di Royal Melbourne Institute of Technology dan menamatkan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang seni.

Wan memulakan kariernya apabila bekerjasama mengarahkan filem seram, Saw dengan bantuan Whannell sebagai penulis skrip untuk filem tersebut.

Peminat genre seram pasti tahu beberapa filem karya Wan antaranya The Conjuring, The Nun, Insidious, Annabelle, Dead Silence, Lights Out dan banyak lagi.

Selain filem seram, Wan juga pengarah bagi filem Fast & Furious 7 (2015) dan Aquaman (2018).

5. Chiu Keng Guan

Pengarah tersohor Chiu Keng Guan antara nama yang menyerlah pada tahun ini kerana filem arahannya On Your Mark berjaya menjadi filem pecah panggung di China dengan jumlah kutipan sebanyak RMB148 juta (RM96 juta).

Sebelum ini, Chiu Keng Guan cemerlang dengan filem arahannya seperti OlaBola (2016), The Journey (2014), Think Big Big (2018), Great Day (2011) dan Woohoo! (2010).

Chiu Keng Guan juga sememangnya terkenal dengan karya yang menerapkan unsur perpaduan, kekeluargaan, persahabatan, semangat patriotisme dan dilihat berjaya mewarnai filem dengan emosi, budaya dan keharmonian masyarakat Malaysia.

Istimewanya lagi, filem On Your Mark bakal menemui penonton Malaysia bermula 26 Ogos ini.

Filem ini mengisahkan seorang anak muda, Xiao Erdong bercita-cita untuk menjadi pelari maraton seperti ibunya.

Namun, cita-citanya dihalang oleh ayahnya Xiao Daming kerana tidak mahu melihat anaknya kecewa mengenangkan Xiao Erdong berkemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.

Namun, sewaktu berlatih secara sembunyi, Xiao Erdong telah terjatuh dan mimpi ngeri ayahnya menjadi kenyataan apabila Xio Erdong disahkan buta.

Saksikan filem hebat On Your Mark yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 26 Ogos 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.