Anak kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh berjaya melakar sejarah paling gemilang dalam kerjaya seninya apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023) sebentar tadi.

Pada acara gemilang yang berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat itu, Michelle merangkul anugerah berkenaan menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Michelle, 61, yang anggun dalam persalinan berwarna putih tidak mampu menyembunyikan kegembiraan ketika di pentas semasa menerima trofi yang menjadi dambaan pelakon-pelakon dari seluruh dunia.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)

Hadir ditemani tunangnya, Jean Todt, kejayaan bintang asal kelahiran di Ipoh, Perak itu sekali gus menjadi wanita bukan kulit putih pertama yang memenangi kategori itu selepas selang masa dua dekad, sejak Halle Berry memenanginya pada tahun 2002.

Untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik, Michelle berdepan dengan saingan Andrea Riseborough yang membintangi filem To Leslie; Cate Blanchett (Tar); Michelle Williams (The Fabelmans) dan Ana de Armas (Blonde).

Terdahulu, Michelle menerusi filem sama turut berjaya membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Filem Muzikal atau Komedi dan Golden Globe Awards.

Saksikan lakonan hebat Michelle dalam filem Everything Everywhere All at Once di Astro Go dan Ultra Box sekarang!

Sumber - Awani