Sekilas
- Khai Bahar memilih untuk tidak aktif di media sosial terutama Threads bagi mengelak gosip dan kontroversi yang boleh mengganggu fokus kerjayanya.
- Dia menasihatkan pengguna media sosial supaya bijak mengendalikan kenyataan dan hantaran mereka demi mengelak masalah yang tidak diingini.
- Khai akan tampil bersama Siti Nordiana, Datuk Ziana Zain, Cakra Khan dan Datuk Amy Search dalam konsert A Night Soul pada 12 Disember di Mines International Exhibition Centre.
Penyanyi, Khai Bahar mengakui dirinya tidak mahu terlalu aktif di media sosial terutama Threads kerana tidak mahu terlibat dengan sebarang gosip dan kontroversi.
Menurut Khai, dia tidak mahu membebani dirinya dengan masalah orang lain dan hanya ingin memberi tumpuan pada kerjayanya sahaja.
“Mula-mula sahaja saya aktif di Threads, kemudian saya mula takut nak bermain Threads. Kalau boleh nak elak baca perkara-perkara negatif. Macam-macam perkara ada. Gosip itulah inilah.
“Daripada kita tak tahu hal orang, jadi tahu pula. Saya pun tak mahu tahu hal orang sebab saya fikir nak kerja sahaja. Tak mahu menambahkan masalah orang lain dalam kepala kita,”katanya kepada Gempak.
Khai berkata demikian ketika ditemui di sidang media A Night Soul yang berlangsung di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur pada Selasa.
Dalam masa sama, pelantun lagu Luluh itu turut berkata dia tidak mahu terlalu mengulas mengenai isu-isu di dalam Threads kerana risau penerimaan orang lain yang berbeza-beza.
Namun, dia sempat berpesan agar pengguna bijak mengendalikan sosial media sebelum memuat naik sebarang kenyataan atau hantaran.
“Bagi saya, terpulang kepada pengguna itu sendiri. Dia kena pandai kendalikan kalau ada buat sebarang kenyataan. Macam saya sendiri, saya akan buka dan scroll sedikit sahaja. Saya tak mahu buka sangat. Ingin fokus pada kerja sahaja.
“Saya tak berani nak beri nasihat. Senang cerita tu hak masing-masinglah nak buat apa. Mereka sendiri pun dah tahu macam mana Threads tu. Saya tak nak cakap lebih sebab saya pun takut salah cakap. Pandailah mereka membuat keputusan,”ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Khai, Siti Nordiana, Datuk Ziana Zain, Cakra Khan dan Datuk Amy Search bakal berkongsi pentas menerusi A Night Soul yang bakal berlangsung di Mines International Exhibition Centre pada 12 Disember ini.