Laman Utama

Bantu Anak-Anak Tercicir Pelajaran, Taylor’s University Bina Makmal Komputer Percuma

gempak
Azwa Rahman
27/12/2021
01:52 MYT
Sponsor Banner
Bantu Anak-Anak Tercicir Pelajaran, Taylor’s University Bina Makmal Komputer Percuma
Tekad mengurangkan kesulitan golongan B40 dalam masalah keciciran pendidikan, Taylor’s University dengan kerjasama Persatuan Integrasi Usahawan Selangor (PIUS) melancarkan Makmal Komputer DuckiePi di Pusat Komersial NZX, Petaling Jaya, pada Jumaat.
Inisiatif berterusan pihak universiti ini adalah sebagai usaha membantu golongan tersebut mengikuti kelas secara dalam talian dan mengakses sumber-sumber pembelajaran selain bakal memberi manfaat kepada komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 dan 2.
Makmal komputer itu turut dilengkapi peranti pembelajaran DuckiePi yang dibangunkan para pelajar di bawah projek Taylor’s Me.reka Makerspace (TMM), melalui ekosistem Taylor’sphere.
Peranti ini dijana oleh Raspberry Pi, sebuah komputer tunggal bersaiz kad kredit serta fungsi aplikasi Zoom, Google Suites, mikrofon dan kamera.
Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, sumbangan peranti berkenaan dapat memastikan anak-anak mereka tidak tercicir dalam pembelajaran dan menimba pengetahuan baharu.
“Saya rasa inisiatif ini diperlukan kerana selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita dapat menyaksikan ramai pelajar tidak mempunyai peranti yang lengkap dan mencukupi, tiada data, dan terpaksa berkongsi bagi mengikuti pembelajaran secara maya.
“Peranti pembelajaran DuckiePi ini, ia amat menarik kerana para pelajar boleh membawanya ke mana-mana sahaja. Ini adalah penting supaya pendidikan dapat dicapai oleh semua orang, terutama anak-anak ini yang tertinggal dalam pembelajaran mereka semasa pandemik.
“Ini juga akan memperkasa anak-anak dengan memberikan mereka peluang meraih pengetahuan dan memastikan pembelajaran mereka tidak terhenti,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Makmal Komputer DuckiePi di Pusat Komersial NZX, Petaling Jaya pada Jumaat.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Pro Naib Canselor (Penyelidikan dan Perusahaan) Taylor’s University, Profesor Madya Dr Anthony Ho Siong Hock, Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya Zon 4, Anwar Nekhan dan Pengerusi Persatuan Integrasi Usahawan Selangor (PIUS), Anuar Salleh Kamarulzaman.
Sementara itu, Pengarah Bersama TMM, William Koong menegaskan pihaknya turut menganjurkan program Me.reka Belia bagi memperkasa belia dan bakal usahawan golongan berkenaan melalui kemahiran digital dan web.
“Me.reka Belia ialah program yang mana kita akan memberi tunjuk ajar kepada komuniti ini tentang cara untuk menjana pendapatan melalui internet.
“Seterusnya, kita mengajarkan mereka tentang cara menggunakan aplikasi Zoom, Google Drive, e-mel termasuk Canva untuk mereka mencipta poster yang mana dilihat amat penting untuk perniagaan dalam talian. Ini manfaat terbaik buat mereka.
“Selain itu, kita juga amat mengalu-alukan mereka untuk meneruskan pembelajaran daripada memperoleh literasi digital kepada menjadi usahawan digital sama ada dengan membuka perniagaan sendiri, separa perniagaan atau menjadi aktivis untuk menolong ahli komuniti yang lain,” katanya.
Sehingga kini, sebanyak 158 peranti pembelajaran DuckiePi telah disumbangkan kepada keluarga kurang bernasib baik dan pusat-pusat komuniti di seluruh negara melibatkan dana kira-kira lebih RM70,000.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live