Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki yang didakwa melakukan amang seksual ke atas dua kanak-kanak berusia lapan dan sembilan tahun.

Dalam kejadian Isnin lalu, dua kanak-kanak tersebut menangis sebaik pulang ke rumah mereka di sebuah pangsapuri di Seksyen 19, Petaling Jaya.

Media melaporkan, seorang wanita yang juga ibu kepada dua kanak-kanak tersebut kehairanan melihat keadaan mereka.

Dia kemudiannya bertanya apa yang telah berlaku, sebelum salah seorang anaknya memberitahu didatangi lelaki tidak dikenali ketika mereka sedang menjual kuih di pangsapuri

Wanita tersebut mendakwa, suspek menarik tangan anak-anaknya secara paksa sebelum melakukan perkara tidak elok kepada mereka.

Sehingga kini pihak polis masih mencari suspek berdasarkan lakaran fotofit yang dibuat dengan bantuan mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berusia 26 tahun itu giat dikesan susulan laporan ibu mangsa berumur 40 tahun.

"Lakaran fotofit dibuat hasil bantuan mangsa berusia lapan dan sembilan tahun yang mengecam muka suspek," katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Beliau meminta kerjasama orang ramai untuk membantu pihaknya mengesan suspek yang berketinggian 168 sentimeter (cm) dan berbadan kurus.

"Orang ramai yang mengenali suspek atau mengetahui kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor M Naresh Kumar di talian 016-975 7113," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.