Cliff iaitu anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak yang mati akibat barah pada 25 Disember lepas, merupakan rakan seperjuangan yang setia dalam menjalankan tugas.

Jasad anjing baka English Springer Spaniel dari Britain yang dilahirkan pada 1 Januari 2016 itu telah ditanam di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian pada Jumaat.

Mengenang kembali memori bersama, pelatihnya Steven Ambu, 47, yang telah bersama Cliff sejak 2018 menyifatkan anjing itu sebagai pintar dan patuh kepada arahan.

Beliau berkata, anjing daripada disiplin Cadaver yang memiliki kepakaran mengesan mayat atau orang hilang itu juga sangat peramah.

"Banyak kenangan yang saya lalui bersama Cliff. Haiwan ini mempunyai karakter yang hiper dan sangat mesra,” katanya yang kelihatan sebak kepada pemberita selepas proses pengebumian itu.

Sementara itu, Pengarah JBPM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman berkata, kehilangan Cliff yang telah bersama pasukannya hampir tujuh tahun itu ialah satu kehilangan yang besar.

"Setiap kali kita lakukan sesuatu operasi, Cliff sentiasa ke hadapan dan kesungguhan haiwan ini kita boleh lihat. Cliff juga mampu menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Sarawak dengan sangat baik.

"Kadang-kadang ada operasi yang mengambil masa dua ke tiga jam sehingga sampai ke kawasan Miri dan Baram juga kita masih boleh bawa Cliff untuk menaiki helikopter,” katanya.

Sumber: Bernama menerusi Sinar Harian