Entah apa yang difikirkan seorang lelaki sehingga tergamak membunuh dua anaknya sebelum membunuh diri sendiri.

Malah, dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 5.50 pagi tadi Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kepong, turut menyaksikan seorang lagi anaknya mengalami cedera parah.

Lelaki warga Myanmar tersebut dipercayai telah mencampak dua beradik yang maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter di lebuh raya tersebut.

Menurut laporan Berita Harian, kejadian berlaku awal pagi itu disedari orang awam apabila melihat lelaki berusia 38 tahun itu menggendong seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan mencurigakan, sambil memimpin dua lagi kanak-kanak lain di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, mengesahkan kejadian itu, dengan suspek yang juga bapa kepada tiga kanak-kanak terbabit turut maut selepas dipercayai terjun dari lokasi sama.

"Ketika cuba dihampiri orang awam yang menyaksikan kejadian itu, lelaki terbabit terus mencampak ketiga-tiga kanak-kanak yang dibawa bersamanya itu dari Lebuhraya MRR2 yang dianggarkan mempunyai ketinggian kira-kira 20 meter.

"Sejurus itu, lelaki terbabit terus terjun dari lebuh raya sama dengan semua empat mangsa ditemui di tepi jalan raya berhampiran lampu isyarat di Desa Jaya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, lelaki terbabit bersama dua daripada tiga kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi yang dianggarkan berusia lima tahun mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati kanak-kanak lelaki yang terselamat itu mengalami kecederaan dalaman pada perut serta keretakan pada rusuk kirinya. Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Mengenai dua lagi mangsa yang maut, beliau berkata ia membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia antara enam hingga tujuh tahun.

"Semua mangsa dipercayai warga Myanmar kerana pemeriksaan di lokasi menemui dua kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik lelaki dewasa itu dan kanak-kanak perempuan yang berusia lapan tahun.

Sumber: Berita Harian