Seorang lelaki yang menjadikan dua anak kandungnya tempat melepaskan nafsu, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas 28 pertuduhan termasuk merogol, melakukan seks luar tabii dan amang seksual terhadap mangsa berusia 15 dan 19 tahun.

Lelaki berusia 56 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa merogol kedua-dua anak kandung sejak mangsa berusia 12 tahun.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa dengan enam pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap salah seorang mangsa dan kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Selain itu, dia turut didakwa lima pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat.

Dia turut mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, yang mana bagi kesalahan itu tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Sumber: Sinar Harian