Sekilas
- Yasin Sulaiman berkongsi kegembiraan dapat menikmati sashimi selepas lama tidak menjamah makanan Jepun itu.
- Pada 2 September, Yasin dibenarkan pulang selepas menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
- Yasin pernah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan sebatan atas kes dadah, tetapi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya pada April 2025.
Rasa ‘craving’ penyanyi, Yasin Sulaiman untuk menikmati sashimi akhirnya terubat apabila berpeluang menjamu makanan Jepun itu di sebuah restoran, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di Threads, Yasin dilihat memuat naik satu gambar memaparkan dirinya yang sedang merenung ke arah makanan tersebut.
Di ruangan kapsyen, Yasin turut meluahkan rasa teruja kerana dapat menjamu juadah tersebut selepas sekian lama tidak menikmatinya..
“Hello sashimi, it’s been a long time sejak kali terakhir aku makan kau,” kongsinya.
Perkongsian itu kemudiannya meraih perhatian ramai dan setakat artikel ini ditulis, hantaran tersebut telah meraih lebih 3,900 tanda suka.
Pada 2 September lalu, Yasin sudah dibenarkan pulang ke rumah selepas menjalani rawatan dan pemantauan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Untuk rekod, pada 22 Ogos 2024, Yasin dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya.
Hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Yasin oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor pada 29 November 2023.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 28 April 2025 melepas dan membebaskan Yasin serta memerintahkannya kembali ditempatkan di Hospital Bahagia sehingga diperkenan Sultan Selangor.
Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atas Yasin selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.
Yasin didakwa atas tiga pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram, menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan memberikan dirinya dadah berbahaya.
Sumber: Threads