Penyanyi Ernie Zakri, memohon jasa baik orang ramai untuk mendoakan kesembuhan bapa mentuanya, Mohd Fodzly, yang ketika ini sedang ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) susulan jangkitan kuman pada paru-paru.

Ernie yang berkongsi mengenai perkara itu ketika menjayakan This Is Ernie Zakri Showcase di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), malam tadi jelas tidak dapat menahan sebak.

Malah, dia turut berterima kasih kepada suaminya, Syamel yang hadir memberikan sokongan meskipun masih dalam keadaan bersedih.

“Saya sangat sedih dan saya minta doa baik anda semua untuk mendoakan ayah mentua saya yang kini berada di ICU.

“Suami saya bergelut sama ada nak tengok ayahnya atau saya, tapi tetap datang ke sini untuk menyokong saya. Terima kasih.

“Jadi, kepada yang ada pasangan itu, atau siapa pun yang kita sayang, tak kira keluarga atau kawan-kawan, walau rasa malu nak luah betapa kita sayang mereka, luahkan,” katanya kepada Gempak.

Terdahulu, Syamel menerusi hantaran di Instagram Stories memaklumkan berita mengenai bapanya itu.

“Minta jasa baik semua untuk mendoakan kesembuhan ayah kesayangan saya yang kini berada di ICU kerana jangkitan kuman pada paru-paru.

“Tiga hari sudah berlalu, alhamdulillah keadaan ayah semakin baik. Sama-sama kita doakan,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Sementara itu, pada showcase yang dihadiri 200 peminat, Ernie telah menyampaikan 10 buah lagu popularnya termasuk Boneka, Gundah, Ku Bersuara, Hal Hebat, Rindu Bukan Teman, Ini Yang Ku Mahu, Misteri, Jangan Marah dan single terbaharu, Astana.

Turut hadir memeriahkan showcase tersebut termasuk rakan artis seperti Ara Johari, Sissy Imann, Wany Hasrita, Ben Amir, Amira Othman, Amelia Henderson dan ramai lagi.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.