HIBURAN
BARBARIK Kembali, Konsert ‘Pentas Peluru Cokelat’ Bakal Gempur Zepp KL Jun Ini
Sempena pelancaran album sulung mereka, Peluru Cokelat, pada 9 November lalu, band rock BARBARIK bakal menggegarkan pentas melalui konsert khas berjudul “BARBARIK Pentas Peluru Cokelat” yang akan berlangsung pada 28 Jun 2025, jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.
Walaupun baru berusia tiga tahun, BARBARIK, yang dianggotai oleh Muss (vokal), JoBranko (gitar), Rozaimi (bass) dan Ainol (dram) telah mencatat kejayaan dengan empat konsert terdahulu.
.jpg)
Namun, konsert kali ini bakal menjadi lebih istimewa dan bersejarah, kerana buat pertama kalinya, BARBARIK akan mempersembahkan repertoar penuh daripada album ciptaan mereka sendiri.
“Sebelum ini, kami tampil dengan lagu-lagu era Muss bersama Wings, tetapi kali ini, kami bawakan karya asli yang benar-benar mencerminkan identiti muzik BARBARIK,” ujar JoBranko.
Konsert selama dua jam itu bakal menampilkan sekitar 20 buah lagu termasuk lagu-lagu baharu dan beberapa pilihan klasik yang diberi nafas baru.
“Kami janjikan pengalaman luar biasa dengan elemen kejutan di awal, pertengahan dan penutup persembahan. Ini bukan sekadar konsert — ini adalah pengalaman yang akan menguji adrenalin anda dari mula hingga akhir. Percayalah, anda takkan mahu berganjak walau sesaat,” tambahnya lagi.
Konsert ini dibawakan oleh Karri Talk Production dengan kerjasama penganjur bersama Pentas Barbarik Sdn. Bhd.
Band rock BARBARIK membuktikan keseriusan mereka dalam industri muzik dengan pelancaran album sulung berjudul Peluru Cokelat, yang mengangkat semangat rock 80-an dan 90-an sebagai identiti mereka.
Ditubuhkan secara rasmi selepas konsert BARBARIK Pentas Keras 1.0 pada 2022, band ini tercetus daripada kerinduan peminat terhadap gandingan semula Muss dan JoBranko, bekas anggota Wings yang pernah menghasilkan enam album bersama.
“Ini bukan projek nostalgia, tapi langkah rasmi kami sebagai band yang berdiri dengan karya sendiri,” kata JoBranko.
Album ini juga menjadi simbol penebusan buat Muss, yang tidak sempat mempersembahkan lagu dari album Mr. Barbarik secara langsung sebelum meninggalkan Wings.
Dirakam sepanjang enam bulan bermula Mac 2024, album ini memuatkan tujuh lagu, termasuk Peluru Cokelat, Golok Kayu (feat. Karl Cromok), dan Didakap Pesona.
Lagu utama ciptaan JoBranko dengan lirik oleh Nasir Jani, diangkat sebagai refleksi semasa terhadap isu kemanusiaan global.
Kesemua lagu adalah ciptaan JoBranko dengan lirik oleh Nasir Jani, Muss, Bambino, Nuar Botak dan JoBranko sendiri.
Proses mastering disempurnakan oleh Don Bartley di Brisbane, Australia. Album ini turut menampilkan pemuzik undangan seperti Karl Cromok dan Adi Yamin.
Must-Watch Video