Juara Gegar Vaganza musim ketiga, Azharina Azhar bersyukur apabila 200 keping tiket konsert solonya, Konsert Azharina Queen of Soul telah ditempah beberapa hari lalu biarpun majlis pelancarannya baru sahaja diadakan semalam.

Bakal berlangsung pada 29 Jun ini di Teater Shah Alam, konsert solo Azharina ini mampu memuatkan sebanyak 900 penonton.

"Alhamdulillah, saya sendiri tak sangka dengan sambutan awal ini. Baru sahaja dilancarkan, orang sudah menempah 200 tiket. Ia secara tidak langsung memberikan 'beban' terhadap saya untuk beraksi cemerlang pada konsert itu nanti.

Sidang media konsert Azharina Live Musical di Blackbox SACC Mall. @azharina_a @jojieaminuddin. #AzharinaLiveMusical #concert #sidangmedia #pressconference #BlackBoxSACCMall #SACCMall #ShahAlam #Selangor

A post shared by BLACKBOX @ SACC Mall (@blackboxsaccmall) on


"Sejujurnya, perasaan saya bercampur baur. Saya teruja tetapi pada masa yang sama, saya gementar. Saya sendiri tak tahu bagaimanakah nanti keadaan konsert tersebut.

"Ini merupakan konsert pertama yang dianjurkan dalam skala besar. Saya juga bakal menghiburkan penonton selama hampir dua jam," kata Azharina kepada Gempak.

Penyanyi itu ditemui di majlis pelancaran Konsert Azharina Queen of Soul yang diadakan di Blackbox, SACC Mall Shah Alam pada Selasa.

KOnsert ini juga diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-18 pembabitan pelantun lagu Seandainya itu dalam industri nyanyian.

"Bayangkan, perancangan untuk mengadakan konsert ini sudah bermula semenjak sambutan Hari Raya tahun lalu. Alhamdulillah, penantian saya berbaloi dan semuanya berjalan lancar biarpun persiapan mengambil masa lama.

"Saya bakal diiringi pemuzik orkestra dan menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu popular saya serta beberapa lagu lain. Saya bakal menyampaikan 14 lagu secara solo dan satu lagu duet bersama penyanyi jemputan," katanya.

Menurut Pengarah Urusan penganjur konsert, Syahrizal Ismail, Konsert Azharina Queen of Soul bakal berlangsung selama satu hari sahaja.

“Untuk menjadikan konsert ini sebagai satu acara yang eksklusif, kita tidak mempunyai perancangan nak menambah bilangan hari untuk konsert ini.

“Pada masa yang sama, kami mempunyai perancangan untuk membawa konsert ini ke beberapa lokasi lain dalam negara memandangkan Azharina mempunyai peminat yang ramai. Insya-Allah, tahun ini akan ada satu lagi konsert sama di lokasi berbeza,” kata Syahrizal.

Konsert ini mendapat sokongan Kelab SUK Selangor melalui Kelab SPBT selain bekerjasama dengan Kelab Sukan dan Kebudayaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, FUFC The Fighters dan Pemadam Negeri Selangor.

Tiket mula dijual malam ini di www.atlasoneevents.com pada harga RM288 (VIP), RM188 (kategori A), RM158 (kategori B) dan RM108 (kategori C).