Seramai 1,368 peserta terdiri daripada badan beruniform dan sektor korporat terlibat dalam Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur 2022 ([email protected] 2022) yang berlangsung pada 23 hingga 25 September 2022 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Festival anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menerusi JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengangkat permainan Malaysia sebagai teras bagi program ini dan disokong oleh lain-lain pengisian untuk penglibatan masyarakat.

Program yang telah memasuki tujuh tahun penganjurannya berkonsepkan festival yang merangkumi pelbagai aktiviti dan pengisian seperti pertandingan permainan tradisional, permainan interaktif, pameran, demonstrasi, persembahan serta jualan.

Encik Norazman bin Othman yang mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam ucapannya berkata, festival ini diharap akan terus menjadi acara tahunan negara dalam mengangkat dan memulihara keunikan kesenian serta kepelbagaian warisan tradisi rakyat Malaysia.


Selain itu juga, penganjuran festival ini diharap dapat menyediakan peluang penjanaan pendapatan kepada usahawan seni budaya dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat serta membantu NGO seni budaya melalui acara sebegini.

Pengisian utama [email protected] 2022 adalah pertandingan permainan tradisional di antara badan beruniform dan juga sektor korporat yang dikelolakan oleh Kelab Sukan Tradisional Harmoni.

Selain pertandingan permainan tradisional antara badan beruniform dan sektor korporat, orang ramai berpeluang menyertai Permainan Lagenda Rakyat seperti kelereng, kaki hantu, lari dalam guni berkembar, tarik upih / guni dan terompah gergasi. Pengisian-pengisian lain juga yang pastinya menarik adalah aktiviti pocket bike, pasar basikal, bazar selebriti, bazar jualan produk seni budaya dan banyak lagi.

Turut diadakan adalah Pertandingan Gasing Pangkah yang juga dikenali sebagai MyGasing Championship, Kejohanan Tarik Tali Terbuka Malaysia dan Pertandingan Pocket Bike yang akan melibatkan pelumba cilik terdiri daripada kanak-kanak. Selain melibatkan penyertaan daripada negeri-negeri di Malaysia, dua pasukan antarabangsa iaitu Singapura dan Brunei juga dijangka akan turut serta dalam Pertandingan Gasing Pangkah pada tahun ini.

Bagi memeriahkan lagi penganjuran FPM @ KL 2022, dua acara larian diadakan iaitu Larian Keluarga Malaysia dan KL Cultural Fun Run & Ride. Acara ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Maklumat lanjut dan pendaftaran boleh dibuat melalui laman web www.raceasia.com.

Maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my ataupun boleh layari facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.