Bintang filem Ada Apa Dengan Dosa, Wanna Ali memberitahu faktor cuaca yang terlalu sejuk di Scotland sedikit sebanyak mengganggu konsentrasinya ketika penggambaran.

Jelasnya, ada masanya dia mengambil masa yang lama untuk betul-betul fokus dengan emosi watak Aurora.

"Saya bukan pelakon air mata dan untuk watak ini saya perlu banyak menangis terutama ketika di Scotland.

"Rasa macam beku air mata ketika penggambaran!

"Bagi saya faktor cuaca sedikit mencabar bagi saya memandangkan kita perlu fokus dengan watak dan skrip tapi bergelut dengan persekitaran yang asing bagi kita," kongsi Wanna kepada Gempak.

Untuk mendalami watak Aurora, Wanna mendapat tunjuk ajar daripada pelakon prolifik Fatimah Abu Bakar.

"Kami melalui lima kali kelas sebelum memulakan penggambaran sekitar dua tahun lalu dan dia berjaya menggali jiwa dan emosi saya untuk watak Aurora.

"Sejujurnya saya senang menangis apabila membaca skrip filem ini kerana ia sangat menyentuh hati dan menyedihkan.

"Tambah pula ia berdasarkan kisah sebenar yang berlaku dalam kehidupan seseorang sebelum ini," jelasnya.



Ada Apa Dengan Dosa mengisahkan kehidupan seorang gadis yang dibesarkan dalam keluarga freethinker bernama Aurora (Wanna Ali) yang mendapat tahu identiti sebenarnya dari keluarga beragama Islam.

Lebih mengejutkan apabila Aurora adalah seorang anak luar nikah hasil daripada keterlanjuran perbuatan seorang pendakwah dan ibu kandungnya.

Kesannya, Aurora hampir membunuh diri namun kehidupannya berubah selepas bertemu dengan Khalik (PU Riz).

Filem terbitan Pencil Pictures & Records itu dibintangi Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, PU Riz, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.

Ada Apa Dengan Dosa telah mula ditayangkan di saluran Astro First (480) sejak 4 Jun.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton Ada Apa Dengan Dosa selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem Ada Apa Dengan Dosa, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.