Baru-baru ini kecoh di media sosial apabila ada pihak yang mempersoalkan sekiranya terdapat unsur syirik dalam selawat tafrijiyyah.

Perkara itu sekali gus menyebabkan sebahagian masyarakat menjadi resah dan risau kerana amalan tersebut memang telah sekian lama diamalkan oleh kebanyakan masyarakat Islam di Malaysia.

Enggan isu tersebut menjadi lebih serius, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tampil memperjelaskan maksud sebenar di sebalik ayat digunakan dalam selawat itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan di laman web mereka, pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan tiada sebarang unsur syirik dikesan dalam selewat tafrijiyyah.

“Setelah dilakukan pengamatan terhadap lafaz-lafaz di dalam selawat tafrijiyyah, kami mendapati bahawa tiada unsur syirik padanya.

“Hal ini kerana huruf ba’ yang terdapat pada lafaz (تنحل به العقد) tersebut adalah al-ba’ al-sababiyyah yang membawa maksud (تنحل بسببه العقد) dengan sebab Nabi SAW.

“Oleh kerana itu, bila diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu akan diletakkan “yang menjadi sebab terungkai kebuntuan”, katanya dalam kenyataan tersebut.

Jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan itu lagi, kebuntuan yang paling besar terungkai dengan sebab Nabi SAW di dunia adalah isu kesyirikan dan kekafiran.

“Oleh itu, tidak ada masalah dan diharuskan bagi sesiapa yang ingin mengamalkan selawat ini.

“Ini kerana ia hanya berkaitan dengan isu tawassul kepada Nabi SAW dan bukan mempertuhankan makhluk,” tambah kenyataan itu lagi.

Anda boleh lihat huraian penuh di sini.

Sekadar info, Selawat Tafrijiyah juga dikenali sebagai Selawat Kamilah atau Selawat Nariyah yang bermaksud sempurna atau terbuka.

Antara kelebihan atau kebaikan kepada sesiapa yang mengamalkan selawat ini adalah Allah akan melenyapkan kesulitan, kesusahan, kesedihan, serta bahaya yang menimpa dirinya dan dipermudahkan oleh Allah segala urusannya dalam kehidupan serta banyak lagi.