Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menempelak segelintir pihak yang mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membeli sepasang kasut berjenama mewah bernilai RM40,000.

Menerusi satu ciapan di laman Twitter, TMJ meminta Onn Hafiz untuk tidak mempedulikan tuduhan yang tidak berasas daripada sesetengah orang.

“Benda macam ni pun jadi issue? Datuk saya cadangkan lepas ni Dato pakai selipar aja.

“Baru semalam saya terfikir nak hadiahkan jam tangan pada Dato dan beberapa pegawai kerajaan,” tulis Tunku.

Tunku Ismail turut bertitah supaya Onn Hafiz terus menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk negeri Johor.

“Dato, nasihat saya jalankan tugas untuk negeri Johor. Jangan melayan sangat apa orang nak cakap. Yang penting buat kerja,” ujar beliau lagi.

Pada Isnin, Onn Hafiz menafikan beliau membeli sepasang kasut yang berharga puluhan ribu ringgit.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu lagi, kasut dari jenama Berluti itu merupakan kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

“Fitnah dan tohmahan perlu dihentikan. Untuk rekod, ini adalah kurniaan Kebawah Duli Tuanku Sultan.

Terdahulu, beberapa akhbar berbahasa Cina melaporkan isu kasut itu yang dipetik daripada akaun media sosial milik seorang individu mendakwa Onn Hafiz membeli kasut berharga ribuan ringgit sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada wargamaya.