Laman Utama
Bercuti Raya Ke India, Jasmine Suraya Nafi Tukar Agama! - "Upacara Yang Saya Hadiri Itu Sebenarnya ..."
Pelakon Jasmine Suraya tampil menafikan dakwaan segelintir netizen yang menyangka dirinya kini sedang mendalami agama lain ketika sedang bercuti di India.
Jasmine yang masih berada di Delhi, India menjelaskan keberadaannya di negara terbabit sekadar atas dasar bercuti.
"Saya ke India atas sebab bercuti setelah penat bekerja. Saya memang suka melancong jika ada kelapangan jadual, jadi kali ini saya memilih India.
"Percutian saya kali ini lebih kepada merehatkan minda dan menerokai budaya dan tradisi masyarakat India. Upacara yang saya hadiri itu bukanlah ritual keagamaan mana-mana agama sebaliknya hanya sekadar sesi rejuvinasi diri.
"Walau bagaimanapun, daripada pemerhatian saya kepada banyak ritual dan kepercayaan di India dan menyaksikan sendiri dengan mata kepala saya sendiri kemiskinan yang berlaku di sana, saya percaya bahawa agama adalah landasan yang baik membentuk jati diri manusia.
"Saya percaya agama berfungsi sebagai panduan untuk menjadi orang yang baik, untuk memberi kembali bukan sahaja kepada diri kita tetapi kepada semua orang dan setiap spesies di sekeliling kita.
"Percutian ini bukan sekadar pengembaraan kosong, sebaliknya ia telah mengajar saya kesederhanaan hidup dan kejayaan seseorang tidak boleh diukur dan dinilai dari segi material," katanya.
Terdahulu, tindakan Jasmine berkongsi siri foto seakan-akan sedang menghadiri majlis bersifat ritual keagamaan di India mencetuskan tanda tanya warganet.
Sebelum ini Jasmine tidak pernah mendedahkan agama yang dianutinya namun secara terbuka mengakui pernah menghadiri kelas agama Islam sebagai untuk menambah ilmu pengetahuan.
Escapisme media sosial
Dalam pada itu, Jasmine turut menambah yang percutiannya kali ini juga sebagai satu escapisme daripada media sosial."Sebagai selebriti, adalah satu kemestian untuk mengemas kini perkembangan terkini di media sosial. Kadang-kadang ada rasa sedikit ketinggalan jika tiada apa yang hendak dimuat naik di Instagram.
"Situasi ini ada kalanya membuatkan saya sedikit tertekan, apatah lagi untuk memikirkan kandungan apa yang terbaik untuk dikongsikan kepada pengikut saya," luahnya.
Komedi romantik
Kata Jasmine, dia dan pihak pengurusan sedang merangka perancangan terbaharu untuk memastikan dia aktif di laman sosial.Dalam perkembangan lain, Jasmine bakal memulakan penggambaran sebuah drama komedi romantik, serta bakal membintangi sebuah projek bersama penerbit terkenal, Datuk Saniboey.
"Watak yang ditawarkan merupakan antara watak paling diimpikan dan percutian ke India ini juga antara salah satu cara untuk saya membentuk persona untuk karakter seterusnya," tambahnya.
Must-Watch Video