HIBURAN
Bergelut Sebutan Bahasa Melayu, Kat Roshan; "Saya Dah Cuba Sedaya Upaya"
Penyanyi muda berbakat besar, Kat Roshan, bakal melancarkan album EP kedua pada 25 Julai ini. Album yang membawa tema perjalanan emosi ini menghimpunkan lima lagu balada indah hasil ciptaan dan terbitan komposer tersohor Indonesia, Chossy Pratama.
Kat Roshan mula dikenali selepas merakamkan lagu debutnya berjudul Rasa pada 2019 ketika baru berusia 15 tahun. Sejak itu, Kat atau nama sebenar Katrina Cheng Roshan telah mempamerkan bakat vokal yang mantap melalui beberapa lagu popular termasuk Ku Percaya dan Cinta Putih, yang dilancarkan pada 2024.
Penyanyi berdarah campuran Melayu di sebelah bapa dan Cina (ibu) ini terkenal dengan kemampuan menyampaikan lagu-lagu balada dengan penuh penghayatan dan sentuhan emosi mendalam.
Kat, 21, berkata, album EP ini adalah dedikasi istimewa Kat Roshan kepada Chossy Pratama yang sudah banyak mencorak perjalanan awal seninya.
“EP ini adalah cara saya memberi penghormatan kepada insan yang memberi saya lagu pertama untuk debut sebagai artis rakaman iaitu lagu Rasa pada 2019. EP ini menampilkan versi baharu Rasa bersama dua lagu baharu, Ada Apa Gerangan dan Cinta Lama Belum Kelar, serta dua lagu yang sudah dilancar pada 2024 iaitu Ku Percaya dan Cinta Putih,” katanya.
Bercerita mengenai pengalaman bekerjasama dengan Chossy, Kat mengimbas kenangan manis dan getir ketika rakaman pertamanya.
“Ketika saya rakam lagu Rasa pada usia 15 tahun, saya pernah dimarahi kerana tidak cukup latihan. Saya menangis di pangkuan ibu. Namun kini, Pak Chossy (Chossy) selalu bergurau bahawa saya pula yang memberi arahan kepadanya!” kata Kat lagi.
Menurut Kat, kesemua lagu dalam EP ini dirakam antara 2019 hingga 2024, dengan proses rakaman dilakukan di Kuala Lumpur setiap kali Chossy terbang dari Dili, Indonesia.
Pada masa sama, Kat turut mengakui cabaran utama adalah menguasai bahasa Melayu dan Indonesia kerana perbezaan dialek.
“Saya harap pendengar memaafkan kekurangan saya dalam sebutan, namun saya benar-benar mencuba sedaya upaya,” katanya.
Menurut Kat, lagu utama yang akan diketengahkan bagi mempromosikan EP ini adalah Rasa.
“Lagu ini sangat dekat di hati saya dan menjadi simbol perjalanan saya sebagai penyanyi. Setiap lirik dan melodi dalam lagu ini mencerminkan pengalaman dan perasaan yang telah saya lalui sepanjang karier muzik saya.
“Saya berharap pendengar dapat merasai emosi yang saya salurkan melalui setiap lagu. Rasa bukan sekadar sebuah lagu, tetapi ia adalah cerminan jiwa dan identiti seninya yang ingin dikongsi dengan semua pencinta muzik,” katanya.
Pelancaran EP ini juga menandakan penutup yang simbolik kepada fasa muzik balada Kat Roshan yang telah mendefinisikan perjalanan artistiknya selama ini.
“Selepas ini, saya ingin lebih banyak menghasilkan lagu rancak yang sesuai dengan usia saya. Saya perlukan semangat baharu untuk terus berkembang dalam penulisan lagu dan meneroka genre muzik yang lebih dinamik.
“Peralihan dari balada kepada irama yang lebih ‘bertenaga’ bukan sahaja mencerminkan perubahan dalam keperibadian sebagai seorang artis tetapi juga menunjukkan usaha dalam beradaptasi dengan perkembangan cita rasa pendengar masa kini,” katanya.
Album EP Kat Roshan akan tersedia di semua platform digital pada 25 Julai 2025.
Untuk rekod, pada Mei 2021, Kat melancarkan EP pertamanya, My Demons memuatkan lima lagu yang menyelidiki emosi peribadinya, perjalanan hidup dan renungan semasa wabak Covid-19.
Sementara itu, pada Mac 2024, Kat dan Meer Nash berjaya membanggakan negara apabila mewakili Malaysia ke program antarabangsa Sound of the South China Sea (Suara Laut China Selatan) yang diadakan di Sanya, Hainan, China.
Persembahan mereka menerusi lagu Wau Bulan bukan sahaja berjaya memukau 2 juta penonton di China secara siaran langsung, malah menambat hati penonton di Malaysia.
Must-Watch Video