Sekilas
- Atu dari kumpulan Zero berkongsi pengalaman lucu terponteng puasa ketika berusia 11 tahun kerana tidak tahan panas semasa kerja di tapak pembinaan.
- Dia terpaksa minum air paip ketika membancuh simen kerana cuaca yang sangat panas dan godaan air yang menyegarkan.
- Atu juga menceritakan tentang murtabak Jawa yang menjadi juadah berbuka puasa kegemarannya di Sabah, yang berbeza dengan murtabak biasa kerana isinya sayur-sayuran.
Pelawak dan anggota kumpulan Zero iaitu Atu berkongsi kenangan lucu ketika zaman kanak-kanaknya yang pernah terponteng puasa kerana tidak tahan bekerja di bawah panas terik.
Menurut Atu, ketika itu usianya sekitar 11 tahun dan dia membantu melakukan kerja kontrak di tapak pembinaan termasuk membancuh simen.
“Kenangan masa puasa, saya ingat lagi masa itu saya bekerja di panas terik dan umur saya lebih kurang dalam lingkungan 11 tahun.
“Ketika itu pula saya sedang kerja kontrak dan sedang membancuh bancuh simen untuk buat rumah, kemudian ada sekali itu bila saya sedang tuangkan air dalam simen, tiba tiba nampak air macam sedap sangat,” katanya kepada Gempak.
Disebabkan tidak tahan ‘godaan’ melihat air itu dan ditambah pula cuaca yang panas, kata Atu dia akhirnya tewas dan minum air paip tersebut.
“Apa lagi air paip pun saya minum, bila buat kerja tengah panas, nikmat air paip itu lain macam, tiada siapa yang boleh menafikan,” ujarnya ketawa.
Berbicara soal puasa pula, Atu turut berkongsi mengenai juadah berbuka puasa yang sering menjadi kegemarannya ketika di Sabah.
“Kalau juadah berbuka pula kami ada satu murtabak, kalau sini dipanggil murtabak daging atau ayam tetapi di Sabah kami ada murtabak jawa.
“Isinya pula semua sayur, ada sayur kobis, telur sikit tetapi murtabak itu bukan daging atau ayam dan makanan itu wajib ada, sedap,” kongsinya.